[KOMENTAR]

PENULIS bersimpati dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang menerima kecaman netizen susulan penajaan kasut berjenama Skechers yang dituduh menyokong peperangan di Palestin.

Skechers, sebagaimana McDonald’s dan KFC, tersenarai dalam senarai produk yang diboikot atas dakwaan mereka menyokong rejim Israel yang mengganas dengan pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk Palestin, khususnya di Gaza dan Rafah.

Tidak lama selepas berita MOM menerima tajaan Skechers Malaysia berjumlah hampir RM200,000, internet meledak dengan kecaman bertalu-talu daripada netizen yang menyifatkan MOM sebagai jahil, buta hati dan sengaja mencari fasal.

Rata-rata mereka mengkritik keputusan MOM menerima tajaan untuk atlet sedangkan isu reka bentuk corak pakaian rasmi Kontinjen Malaysia belum reda.

Alkisahnya, pengumuman jenama Skechers sebagai penaja rasmi kasut untuk atlet dan pegawai mencetuskan perdebatan. Hanya dua minggu yang lalu warga net mengutuk pakaian rasmi kontinjen negara yang dianggap tidak cukup gah untuk temasya berstatus Olimpik.

Pakaian rasmi kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris yang diperkenalkan sebelum ini dikecam gara-gara rekaan yang ‘buruk’.

Susulan reaksi negatif dan bercampur baur itu, MOM akhirnya mengambil keputusan mengubah reka bentuk dan motif Harimau agar pakaian rasmi itu menonjolkan kegarangan dan keperkasaan atlet negara.

Apabila hantaran yang melaporkan bahawa Skechers Malaysia menaja Kontinjen Malaysia, beberapa pengguna media sosial mendakwa pengasas bersama jenama antarabangsa itu iaitu Michael Greenberg adalah seorang penyokong rejim Zionis.

Sebenarnya ramai tidak maklum MOM bukanlah satu badan berasaskan keuntungan yang mendapati sukar untuk mendapat penaja.

Ini kerana ia adalah badan payung yang mengelolakan kontinjen Malaysia ke 14 Temasya Pelbagai Sukan antarabangsa secara ad-hoc.

Walaupun berfungsi sepenuh masa, umum hanya sedar kewujudan MOM apabila badan itu mendaftar dan mengelola penyertaan Kontinjen negara bertanding di temasya sukan seperti Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik.

MOM tidak ada produk untuk dikomersialkan, kecuali Hari Olimpik setiap 23 Jun, dan Malam Olimpian iaitu majlis anugerah atlet yang berprestij dan dihadiri Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Senario sebegini menyulitkan usaha MOM untuk mencari penaja.

Skechers tampil menaja kasut bagi kontinjen negara ke Sukan Olimpik Paris.

Bagaimanapun kalau dilihat senarai penaja MOM terdahulu, ada jenama Power di bawah Bata sebagai kasut rasmi, jenama Antioni dan Mesuma sebagai pembekal pakaian rasmi serta Yonex sejak 2014.

Sebab itu My Creative Moments yang menganjurkan Hari Olimpik di The Exchange, Trx dalam tempoh tiga hari menganjurkan sambutan hari berkenaan dengan membawanya ke hadapan masyarakat.

Malangnya sambutan itu dikenang dengan memori negatif apabila pakaian rasmi kontinjen Malaysia ke Paris 2024 pada penghujung bulan ini dilancarkan hanya dengan menggunakan patung dan rambut palsu.

Adalah malang bagi MOM apabila keadaan itu mengundang bala lebih besar apabila reka bentuk jaket rasmi itu dilihat kurang gah dan tidak cukup garang atau menyinar.

Apabila Skechers Malaysia diumumkan sebagai pembekal kasut rasmi, malang menimpa MOM lagi.

Peminat sebenarnya tidak faham bahawa MOM berdepan kesukaran mencari penaja disebabkan kurangnya nilai komersial badan itu. Mereka tidak menguruskan mana-mana atlet prestasi tinggi kerana latihan sama ada dalam atau luar negara semuanya dibiayai oleh Kementerian Belia dan Sukan menerusi agensi seperti Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

Pembekal pakaian atau kasut atau rakan penaja untuk peralatan komunikasi atau telefon mudah alih hanya tampil sekali dalam kitaran empat tahun Olimpik.

Kebetulan Skechers Malaysia adalah satu-satunya syarikat pengeluar kasut yang bersedia untuk menaja MOM dan Kontinjen Malaysia dengan membekal jumlah yang dikehendaki.

Bagi jenama tempatan atau lain, mereka turut maklum mengenai keadaan MOM tetapi tidak menawarkan diri untuk menghulurkan tajaan.

Di saat atlet negara memerlukan segala bentuk sokongan, boleh saja mana-mana produk Malaysia tampil menawarkan diri untuk melabur ke dalam MOM.

Dengan senarai penaja kiat terhakis andai nama mereka tersenarai dalam produk yang diboikot akibat menyokong rejim Israel, MOM berdepan masalah untuk mencari rakan penaja yang patuh syariah.

Andai netizen sentiasa berfikir mengenai elemen pro Zionis dalam sukan, maka eloklah Kerajaan Malaysia memulau Sukan Olimpik Paris 2024 disebabkan adanya kontinjen Israel bertanding di sana.

MOM juga tidak perlu melatah dan terlalu cepat membolak balik keputusan semata-mata kerana mengikut kata netizen. Andai keputusan itu dicapai selepas mengambil kira semua faktor dan boleh dijelaskan dengan hujah yang wajar, MOM tidak perlu risau andai dikecam. Usah cepat sentap kerana ini zaman media sosial.

Bukan netizen yang berdepan cabaran mengurus dan mencari penaja secara harian, tetapi kelompok kecil insan-insan yang bekerja keras di sebalik tabir tanpa mengharapkan sekelumit pujian pun.

MOM adalah badan bukan Kerajaan yang tidak berasaskan keuntungan yang mengelola kontinjen negara, bukan agensi Kerajaan yang berkhidmat untuk rakyat atas biayai pembayar cukai negara.

Sebagai seorang Muslim yang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Israel yang melakukan pembunuhan beramai-ramai di tanah suci yang menempatkan kiblat pertama umat Islam, penulis menyokong sebarang usaha memboikot mana-mana produk yang terang-terangan menyumbang kepada keganasan.

Tetapi Skechers Malaysia adalah syarikat milik tempatan, dengan sumbangan tanggungjawab sosial yang menyantuni masyarakat kurang berkemampuan di Malaysia.