PELUMBA Ducati, Francesco Bagnaia tidak mahu dibebani dengan persoalan mengenai peluang bergelar juara dunia menjelang Kejuaraan Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP) Malaysia 2022 pada Ahad.
Ini akan menjadi peluang pertama bagi Bagnaia untuk meraih gelaran dunia musim ini.
Bagaimanapun, pelumba Itali itu enggan terbawa-bawa dan tidak mahu terbeban dengan peluang bergelar juara dunia yang berkemungkinan berlaku di Sepang hujung minggu ini.
“Saya tidak mahu bercakap mengenai kemenangan sekarang. Saya hanya mahu bertenang. Kami hanya fokus melihat perlumbaan seterusnya tanpa memikirkan juara,” kata Bagnaia, yang menduduki tempat kedua dalam perlumbaan untuk kejuaraan MotoGP 2021, dipetik France24.
Ketika ini Bagnaia mendahului kedudukan dengan kutipan 233 mata atau 14 mata di hadapan pesaing terdekatnya Fabio Quartararo. Manakala Aleix Espargaro berada 27 mata di belakang Bagnaia.
Dengan baki dua perlumbaan atau maksimum 50 mata yang boleh diambil, Bagnaia mempunyai peluang pertama untuk menjadi juara dunia dalam perlumbaan MotoGP Malaysia 2022.
Pelumba Itali itu boleh memenangi kejuaraan jika dia mampu menang di Sepang dan pada masa yang sama Quartararo menduduki tempat keempat atau lebih rendah.