MAJLIS Detik 100 Hari Sukan Malaysia XX MSN 2022 dilangsungkan dengan gemilang oleh Menteri Belia Dan Sukan (KBS), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Menara KBS Putrajaya hari ini.
Selepas tertangguh ekoran penularan pandemik Covid-19 yang menjejaskan sektor sukan negara, Sukma kembali dilangsungkan bagi mencari atlet-atlet terbaik dari seluruh negara dari 16 hingga 24 September nanti.
31 jenis sukan dengan 445 acara akan dipertandingkan pada Sukma kali ini. Selain melakukan kira detik, tema, logo dan lagu khas turut dilancarkan pada majlis ini yang disertai Datuk Wira Lee Chong Wei.
Dalam majlis pelancaran yang turut dihadiri wakil-wakil negeri yang bertanding itu, Datuk Seri Faizal berkata Sukma kali ini adalah untuk memastikan semua bakat-bakat yang telah giat berlatih akan mendapat medan untuk mereka membuktikan kehebatan mereka.
“Berkonsepkan Demi Malaysia, atlet yang giat berlatih akan dapat mengecapinya pada September nanti. Ianya akan disingkap pada Hari Malaysia yang simbolik menandakan Sukma adalah untuk semua rakyat Malaysia,” kata beliau pada majlis pelancaran itu.
Selain dari itu, atlet-atlet yang lahir dari kejohanan Sukma turut diberi peluang untuk melakukan pelancaran sebagai tanda penghargaan buat mereka yang banyak berjasa kepada negara. Mereka adalah Jonathan Wong, Azreen Nabila dan S.Sivasangari.