KETUA jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil menyatakan bahawa dia telah menjangka segala kemungkinan yang berlaku pada aksi Derbi Lembah Klang di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
Kekalahan 1-0 apabila Kuala Lumpur (KL) City FC berjaya menjaringkan gol pada babak kedua perlawanan telah menjadi satu motif kebangkitan untuk pasukan Selangor FC memperbaiki segala kekurangan sedia ada.
Menurut Nidzam, perkara ini memang sudah dijangka lebih awal kerana dia beranggapan bahawa perlawanan menentang satu pasukan yang ‘bermasalah’, pasti menjadi satu cabaran besar dan bahaya.
“Saya rasa, kalau kita menilai KL City dengan cerita luar padang ini terlalu bahaya. Jika pasukan yang lalui pelbagai situasi ini, dia akan tampil di padang menjadi pasukan yang lebih baik daripada lain.
“Saya juga tidak salahkan pemain, walaupun gol itu sepatutnya boleh menidakkan tetapi mungkin itu ada sedikit salah faham. Jadi sebagai jurulatih, saya sudah jangka segala kemungkinan ini.
“Kita cuba fikir positif, kita tidak terlalu fikirkan Derbi, tetapi tidak dinafikan tewas Derbi ini lebih cedera sedikit. Jadi ini masa untuk kita lakukan refleksi tentang apa yang berlaku dalam tempoh beberapa bulan ini. Kita tidak boleh pandang ini terlalu menyedihkan malah harus ke hadapan,” ujarnya ketika ditemui selepas tamat perlawanan pada Ahad.
Dalam perkembangan sama, Nidzam turut memberi respons mengenai prestasi anak buahnya yang tampak gagal mendominasi perlawanan terutama di gelanggang lawan ‘away’.
“Kita mungkin perlu tukar kecenderungan atau persiapan kita kerana saya juga perasan kita sering tewas di aksi ‘away’. Saya percaya kita boleh menang malam ini cuma akan datang mungkin kita buat kelainan persiapan supaya permainan ‘away’ kita jadi lebih baik,”tambahnya.