KEJUTAN terus berlaku buat pasukan bola sepak kebangsaan Bahrain apabila tewas 3-0 ketika bertemu Angola dalam perlawanan ujian di Emiriah Arab Bersatu.

Perlawanan itu diadakan di Stadium Kelab Polis Dubai dan ia merupakan persiapan terakhir kem latihan pusat sebelum terbang ke Doha menghadapi pusingan akhir Piala Asia 2023.

Sementara itu, Angola pula sedang bersiap sedia untuk Piala Negara-Negara Afrika CAF, yang dijadualkan berlangsung di Ivory Coast bermula Sabtu hingga 11 Februari.

Bahrain yang menduduki ranking 86 dunia dilatih oleh Juan Antonio Pizzi kini dalam perjalanan ke ibu negara Qatar pada Khamis.

Bahrain diletakkan dalam Kumpulan E untuk pusingan awal bersama Korea Selatan, Malaysia dan Jordan.

Mereka memulakan kempen menentang Korea Selatan pada 15 Januari, kemudian berdepan Malaysia (20 Januari) sebelum melengkapkan perlawanan bertemu Jordan pada (25 Januari).