KEMENTERIAN Belia Dan Sukan (KBS) mempertimbangkan proses membaik pulih atau menaik taraf fasiliti gelanggang futsal sedia ada di negara ini menerusi peruntukan yang disalurkan kerajaan melalui Belanjawan 2023 yang diumumkan Perdana Menteri pada Jumaat.
Timbalan Menterinya, Adam Adli Abdul Halim berkata pihaknya akan mengenal pasti fasiliti sukan itu bagi memastikan ia mudah diakses bukan sahaja buat atlet negara tetapi juga orang awam, namun memerlukan sedikit masa bagi proses penelitian sewajarnya.
“Gelanggang futsal ini ada di mana-mana, cuma adakah ia milik kerajaan atau swasta. Kita akan cuba untuk kenal pasti fasiliti kerajaan tahun ini bagi memastikan gelanggang itu dapat kita gunakan secara optimum.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Adam Adli Abd Halim hadir merasmikan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2023 di Kompleks Sukan Negara (KSN) Panasonic, Shah Alam pada Ahad, 26 Februari 2023.
Baca penuh di https://t.co/8kOTtGNmwp pic.twitter.com/W1Nw2b5xi2
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) February 26, 2023
“Bagi saya fasiliti baru futsal dan sukan lain bukan keperluan sekarang tetapi yang paling mustahak ialah memperbaiki dan menaik taraf fasiliti sedia ada supaya boleh dimanfaatkan semua pihak.
“Sebagai contoh, macam di sesetengah daerah ada sampai tiga, empat gelanggang futsal tetapi satu sahaja yang boleh guna dan ada yang sampai tidak boleh digunakan langsung,” katanya ketika menghadiri Majlis Perasmian Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2023 di Kompleks Sukan Negara Shah Alam pada Ahad.
MPFL 2023 menampilkan 14 pasukan yang dibahagikan kepada dua kumpulan dengan format liga dua pusingan yang sudah bermula pada 18 Februari 2023 lalu.