BAYANGAN pingat emas pertama Malaysia di pentas Sukan Olimpik, semakin menampakkan sinarnya di Paris 2024, terutamanya selepas pembentangan Bajet 2023 diumumkan pada Jumaat.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, peruntukan dana RM332 juta menerusi pembentangan Bajet 2023 untuk industri sukan negara tahun depan, mencukupi.

Menurutnya, peruntukan terbabit meliputi perancangan penyediaan atlet menghadapi pelbagai temasya utama tahun hadapan, termasuk Sukan SEA Kemboja (5 hingga 17 Mei), Sukan Asia di Hangzhou, China (23 September-8 Oktober) dan beberapa siri kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024.

“Sebanyak RM50 juta akan diperuntukan dalam Program Podium. Ini memudahkan MSN (Majlis Sukan Negara) untuk meneruskan program-program buat atlet berprestasi tinggi.

Pencarian pingat emas Olimpik pertama di Paris 2024

“Kita yakin momentum atlet sekarang berada di landasan tepat. Impian pingat emas pertama Olimpik bakal dicapai di Paris nanti (tahun 2024),” katanya, pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Sukan Negara 2022 (HSN 2022) di Dataran Istana Kehakiman, Putrajaya pada Sabtu.

Pada Jumaat,  Menteri KewanganTengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan dalam pembentangan Bajet 2023, sebanyak RM145 juta diperuntukkan untuk menyelenggara, naik taraf dan membina kemudahan sukan

Selain itu, RM154 juta buat pembangunan ekosistem menyeluruh termasuk bakat, latihan, fasiliti dan podium sukan, RM20 juta untuk permotoran dari segi pembangunan litar drag serta RM13 juta kepada pembangunan e-Sukan.

Kerajaan turut memberikan tambahan RM42 juta iaitu RM12 juta pembangunan sukan OKU, RM5 juta Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), RM15 juta Agenda Nasional Malaysia Sihat dan RM10 juta Hari Sukan Negara & Jelajah Fit Malaysia.