BEKAS pemain hoki negara dan Olimpian, Datuk Mirnawan Nawawi mengakui bahawa corak baharu baju kontinjen negara ke Sukan Olimpik Paris 2024 sebagai sesuatu yang unik.

Menurutnya yang juga pernah bersaing di Sukan Olimpik sebanyak tiga kali, corak baharu ini yang bertemakan ‘keemasan’ pasti dapat menyuntik semangat tambahan buat atlet negara yang akan bersaing di Paris bulan hadapan.

“Corak baharu pakaian rasmi Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang bertemakan ’emas’ adalah sangat unik dan berbeza daripada pakaian rasmi yang saya miliki sebelum ini, something different.

Datuk Mirnawan Nawawi memperagakan baju kontinjen baharu negara

“Corak baharu tersebut yang menonjolkan keemasan semestinya akan menyuntik semangat tambahan kepada para Olimpian demi menrealisasikan impian untuk memenangi pingat emas yang sulung untuk Malaysia di pentas Sukan Olimpik!” tulisnya melalui hantaran di media sosial.

“Saya telah beraksi dalam tiga Sukan Olimpik (1992, 1996 dan 2000), tiga Sukan Asia (1990, 1994 dan 1998), sekali Sukan Komanwel (1998) dan lima Sukan SEA (1993, 1995, 1997, 1999 dan 2001).

“Saya berasa sangat bangga untuk menyarung pakaian rasmi Kontinjen Malaysia yang telah disediakan oleh MOM untuk setiap Temasya Pelbagai Sukan tersebut.

“Initiatif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk menyediakan pakaian rasmi Kontinjen Malaysia yang bercorak baharu setiap kali Temasya Pelbagai Sukan, khususnya Sukan Olimpik, merupakan suatu pengiktirafan dan penghargaan kepada atlet kebangsaan dan Olimpian yang akan berjuang untuk Raja dan negara,” tambahnya lagi.

Baju kontinjen negara untuk Sukan Olimpik Paris 2024 diperkenalkan dan dirasmikan Ahad lalu ketika Majlis Penutup Karnival Hari Olimpik Malaysia.

Namun, corak baharu baju kontinjen negara itu telah menerima kecaman hebat dalam kalangan peminat sukan tanah air serta netizen dalam media sosial sehingga ada yang menyatakan bahawa baju itu hanya sesuai diguna untuk ‘hari sukan sekolah’.