PENGANJUR Hari Olimpik Malaysia 2024, My Creative Moments membuat permohonan maaf atas diatas kelemahan dan kekeliruan yang timbul ketika majlis pelancaran pakaian rasmi kontinjen negara pada Ahad lalu.

Menurut Pengarah Urusan My Creative Moments, Wong Kang Woon mengakui terdapat kesilapan dari pihaknya sehingga menyebabkan imej Majlis Olimpik Malaysia (MOM) terjejas.

“Sebagai pihak ketiga yang diberi hak menganjurkan sambutan itu dengan disokong oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM), My Creative Moments memohon maaf kepada MOM, pemegang taruh seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Kenyataan media yang dikeluarkan oleh My Creative Moments.

“Kami juga ingin memohon maaf kepada peminat sukan negara secara amnya atas kelemahan pihak kami dalam mengaturkan sesi pelancaran lebih kemas dan teratur bagi melancarkan pakaian rasmi kontinjen negara yang bakal ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“Kami mengakui kesilapan kami dan mengambil tanggungjawab atas sebarang cacat cela dalam pengurusan dan penganjuran acara itu serta ulasan daripada peminat dan netizen yang menjejaskan imej MOM secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan.

Baju kontinjen negara yang diperkenalkan pada Ahad lalu menerima kecaman yang hebat daripada warga maya kerana reka bentuk bajunya yang tidak unggul serta dipakaikan kepada patung ketika majlis perasmian itu.