SUASANA warna warni sering dikaitkan dengan bulan Syawal yang mulia dan perkara ini menjadikan pemilihan warna baju melayu ketika pagi Aidilfitri menjadi antara perkara paling penting buat semua umat Islam yang berkemampuan.

Seakan menjadi trend, kini seluruh keluarga akan berpakaian sedondon dan bergaya dengan warna pilihan masing-masing dengan warna ‘brick orange’ dikatakan diangkat sebagai warna tema utama perayaan Hari Raya tahun ini.

Namun ianya berbeza buat pengendali Kedah Darul Aman FC, Nafuzi Zain yang tidak kisah jika tidak mengenakan pakaian sedondon kerana sudah menjadi kebiasaan dan dia hanya mengikut selera isteri dan anak-anaknya.

Nafuzi dan isteri ketika di pagi Aidilfitri

“Saya tidak pernah rancang nak pakai baju raya warna apa. Kebiasaannya pergi ke kedai dan mana yang berkenan saya beli warna itu. Benda ini dah jadi biasa dan tidak sedondon.

“Warna terpulang pada selera masing-masing. Ada anak yang nak warna ikut pilihan mereka jadi saya amalkan tema bebas kerana tidak mahu ada anak yang tidak suka warna yang dipilih, jadi biar dia pilih sendiri,” katanya ketika ditemubual FLASH SUKAN.

Nafuzi juga akan meneruskan tradisi menyambut satu Syawal di Kota Bharu, Kelantan dan disebabkan liga yang masih belum bermula dia memberikan cuti yang agak panjang buat pemain Sang Kenari.

Nasi dagang jadi pilihan Nafuzi di pagi Aidilfitri

“Saya akan beraya di Kota Bharu, Kelantan dan kali ini cuti agak panjang. Kami hanya akan kembali menjalani latihan pada hari raya keempat jadi pemain dapat menyambut hari raya bersama keluarga dengan lebih lama,” jelasnya.

Menggemari nasi dagang sebagai menu utama Aidilfitri, Nafuzi juga mahu menggunakan cuti Hari Raya untuk bersama keluarga sebelum kembali ke pusat latihan sebagai persiapan menghadapi musim baharu liga yang bermula 10 Mei nanti.