KURANG tujuh bulan lagi pasukan Harimau Malaya akan menghadapi kejohanan Piala Asia di Qatar dan perkara ini disedari jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon.
Sambil akui tahap Piala Asia begitu tinggi kerana bakal berdepan pasukan gagah peringkat benua Pan-gon akui perlu melakukan banyak sesi percubaan untuk memantapkan skuad kendaliannya.
“Kita memberikan anda permainan yang bagus tapi sebagai pasukan kebangsaan kami miliki batas waktu untuk berkumpul.
“Kita hanya boleh bermain semula pada pertandingan bulan September (dua perlawanan) dan Oktober serta pada November pula kami bermula kelayakan Piala Dunia.
“Saya fikir kami akan melakukan banyak hal eksperimen pasukan. Kita pasti, mungkin menghadapi beberapa pasukan yang kuat pada September dan Oktober dan cuba berikan gaya permainan bola sepak seperti ini (mendominasi dan menguasai).
“Untuk jangka panjang, jika ingin melihat perkembangan pasukan, konsisten serta terus menyerang kita perlu adaptasi meskipun perlu berdepan pasukan kuat. Saya akan berbincang dengan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) seperti yang anda tahu iaitu sasaran yang kita miliki,” katanya dalam sidang media selepas aksi bertemu Papua New Guinea.
Dalam aksi persahabatan Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Selasa malam, Malaysia tampil garang meratah negara benua Oceania itu dengan keputusan 10-0.
Kemenangan besar itu juga turut membantu Malaysia menambah sebanyak 4.24 mata dalam ranking Fifa.
Dalam pada itu, pengendali kelahiran Korea Selatan itu juga berpuas hati dan menghargai usaha keras pemain yang memberikan persembahan berkualiti dan menggembirakan para penyokong yang hadir ke stadium.
“Mereka sangat pintar dan saya amat berbangga seluruh pemain. Saya dapat keyakinan diri, tidak ada rasa takut itu penting setiap kali kami masuk ke dalam padang,” katanya.
Kini, kesemua pemainnya akan dilepaskan kembali ke pangkuan kelab masing-masing dan Pan-gon sudah pasti akan menilai beberapa lagi pemain baharu yang boleh dipanggil menganggotai kem Harimau Malaya pada masa depan.