KETUA Pegawai Eksekutif Malaysia Football League (MFL) Stuart Ramalingam melihat tindakan pembakaran suar di stadium mungkin menghasilkan suasana dan gambaran yang hebat.

Namun begitu Stuart tetap menganggap pembakaran suar itu meliputi aspek keselamatan dan membabitkan aspek tatatertib di bawah bidang kuasa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai imej Liga Super selepas terdapat beberapa insiden membakar suar oleh penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri musim ini.

Stuart Ramalingam

“Saya rasa dari sudut gambar ianya kelihatan hebat dan memukau, tetapi ini bukan soal gambar, ini adalah soal tatatertib, biar pihak berkuasa yang bertindak. Saya dah jawab perkara ini banyak kali bahawa ia di bawah kelolaan FAM, apa-apa tindakan tatatertib adalah di bawah tindakan FAM, di situlah tempat buat keputusan.

“Jadi perkara ini bukan untuk saya komen dan jika mahu lebih maklumat kena dapatkan komen dari FAM,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Jalinan Kasih bersama Aeon Big dan MFL di Aeon Big Wangsa Maju pada Selasa.

Sebelum ini, sebanyak tiga kali penyokong JDT membakar suar selepas perlawanan, sekali gus melanggar peraturan Artikel 70.1 Kod Tataterbit FAM yang melarang penyokong membawa masuk barang larangan ke dalam stadium.

Tindakan membakar suar itu dilakukan ketika Harimau Selatan menang dua perlawanan Liga Super iaitu ke atas Sabah FC dan Kedah Darul Aman FC serta pada aksi Piala FA berdepan PDRM FC.

Mengulas lanjut, Stuart berkata, undang-undang atau larangan membabitkan suar adalah untuk memastikan keselamatan di stadium, selain mengulangi pendiriannya untuk tidak menyentuh dari aspek hukuman memandangkan ia di bawah bidang kuasa FAM.