ATLET gimnastik berirama, Ng Joe Ee menaruh harapan yang terbaik dalam sesi latihannya di Baku untuk Sukan Asia Hangzhou 2023.
Idola gimnastik yang berusia 17 tahun itu akan berada di Azerbaijan untuk sesi latihan selama dua minggu sebelum bersaing pada Sukan Asia dari 6 hingga 7 Oktober.
Joe Ee turut meluahkan kelegaan kerana dapat berlatih di Kem Latihan Baku kerana terdapat jurulatih yang berpengalaman di sana akan turut bersama dalam sesi latihannya.
Dalam masa yang sama, dia sangat menyedari bahawa peluang yang diperoleh kali ini perlu dimanfaatkan dengan sehabis baik kerana tidak semua atlet dapat melangkah ke Baku ini.
“Sebelum ini saya juga pernah berlatih di Baku. Jurulatih dan atlet kebangsaan mereka juga akan turut bersama untuk dapat memberi komen terhadap prestasi saya.
“Selain itu, daripada segi keupayaan mental saya juga amat penting dan mempengaruhi prestasi saya, jika mental saya baik maka persembahan saya kelak akan lebih sempurna,” katanya ketika ditemui pihak media.
Joe Ee turut menyedari tahap prestasinya pada dua pertandingan pertama tahun ini tidak begitu memuaskan.
Oleh itu, impiannya kali ini supaya dia dapat menjalankan sesi latihan yang terbaik dan meningkatkan lagi prestasinya di Baku.
Joe Ee sempat juga menyatakan hasratnya supaya tergolong dalam ‘Top 8’ sejurus melayakkan diri ke pentas akhir di Sukan Asia kali ini.