KEJAYAAN Penang FC muncul pemenang ‘Northern Derby’ menyingkirkan Kedah Darul Aman FC dalam aksi Pusingan Pertama Piala FA mempunyai cerita menarik mengenai keharmonian unit penjaga gol skuad Harimau Kumbang.

Shafiq Afifi Suhaimi, penjaga gol utama Penang FC musim ini mencuri tumpuan apabila berjaya menyelamatkan dua sepakan penalti Kedah daripada Lee Tuck dan Bojan Ciger untuk membawa skuad kendalian Chong Yee Fatt itu layak ke peringkat 16 terbaik.

Tetapi apa yang lebih menarik adalah apabila Shafiq atau lebih mesra disapa Along menunjukkan nota yang dilekatkan pada tangannya yang menunjukkan arah sepakan para pemain Kedah dan kini tular di laman sosial.

Menerusi temubual FLASH SUKAN bersama jurulatih penjaga gol Penang FC, Mohamad Hisham Jainudin, dia berkongsi apa yang dilakukannya bagi membantu Shafiq untuk berhadapan penentuan penalti dalam perlawanan yang berlangsung pada Rabu.

“Alhamdulillah saya sudah melakukan persiapan analisis dua hari sebelum perlawanan dengan Kedah. Saya memerhatikan pemain import lawan yang masih beraksi pada babak kedua masa tambahan dan mula menulis pada ‘strapping tape’ bagi memudahkan Along membaca sepakan penalti lawan.

“Syukur semuanya tepat kecuali Manuel Hidalgo yang melakukan perubahan dan akhirnya Shafiq berjaya membantu pasukan kami menang dalam perlawanan ini dan yang penting keharmonian dalam unit penjaga gol kerana semuanya saling membantu dan memberikan sokongan,” kata bekas penjaga gol USM FC itu.

Hisham bersama penjaga gol Penang FC

Hisham dilihat berlari dan menerpa ke arah Shafiq selepas dia menafikan penalti Bojan Ciger yang ternyata gembira kerana pemain itu mengikuti apa yang telah diarahkan sekaligus mengesahkan kemaraan Harimau Kumbang ke peringkat 16 terbaik bertemu Kuching City.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kami dah sedia situasi penalti”, Chong Yee Fatt anggap keputusan ‘jackpot’

Selain cemerlang menidakkan dua sepakan penalti, Shafiq juga beraksi baik dalam 90 minit masa sebenar apabila beberapa kali menafikan percubaan berbahaya dari barisan serangan Kedah selain dibantu barisan pertahanan yang cukup berdisiplin untuk memastikan kemenangan Penang FC.