PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) membuka langkah 2023 dengan semangat baharu apabila berjaya memeterai kerjasama strategik bersama AFFIN Group, yang dilantik menjadi rakan bank rasmi badan induk badminton negara itu.
Penajaan selama dua tahun sehingga 2024 akan menyaksikan BAM bakal mendapat bantuan dan sokongan penuh agensi perbankan negara itu,terutamanya penajaan untuk kejohanan pembangunan remaja yang diberi nama sebagai Kejohanan Jelajah Elit AFFIN 100 plus.
Selain itu, kerjasama turut membabitkan sudut kewangan memandangkan skuad utama kebangsaan akan mengharungi jadual padat kalendar kejohanan menjelang kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan bermula pada 1 Mei depan.
Presiden BAM, Tan Sri Mohammad Norza Zakaria berkata, kerjasama dengan AFFIN Group membuktikan BAM mampu bergerak sendiri dan tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada dana kerajaan dalam usaha untuk memacu sukan negara ke arah lebih tinggi.
“Kami telah membincangkan mengenai kerjasama ini sejak sekian lama, tetapi baru sekarang ia dapat direalisasikan ekoran negara dilanda wabak Covid-19, dan saya dengan sukacitanya mengumumkan kerjasama ini bersama pihak Affin.
“Sokongan pihak syarikat korporat amat penting untuk meneruskan program pembangunan dan kejohanan remaja di dalam negara ini,” kata Norza dalam sidang media selepas Majlis Pengumuman Penajaan AFFIN Group sebagai rakan bank rasmi, di Menara TRX.
Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFIN, Datuk Wan Razly Abdullah.
“Pastinya kami akan menumpukan sepenuh perhatian untuk tempoh dua tahun yang akan datang menuju ke Sukan Olimpik Paris 2024, dan dengan bantuan yang diberikan kepada kami, ia amat bermakna dalam usaha kami untuk memburu pingat emas pertama negara di Sukan olimpik,” jelas Norza ketika Majlis Pengumuman Penajaan BAM dan AFFIN Group di Menara Tun Razak, Kuala Lumpur semalam,” kata Norza lagi.
Sementara itu, Wan Razly enggan mendedahkan nilai tajaan daripada kumpulan bank terbabit.
“Penajaan ini bukan membabitkan wang semata-mata, ia berkaitan pembinaan sebuah impian, pembinaah sebuah kejayaan dan aspiras, dari segi kesukanan dan fasiliti.
“Kami mahu membantu BAM menuju kecemerlangan untuk menjadi gergasi badminton dunia dan tentunya kami sedia membantu dari segi pelaburan ke atas pemain dan juga sains sukan,” kata Wan Razly.