PASANGAN beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei, akan digandingkan dengan pemain baharu selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memutuskan untuk memisahkan mereka susulan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Prestasi baru-baru ini.

Pemangku Presiden BAM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Prestasi, Datuk V. Subramaniam berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan cadangan daripada panel kejurulatihan selepas perbincangan terperinci.

“Kami telah menerima laporan dan cadangan akhir daripada Nova (Widianto) dan Rexy (Mainaky). Pasangan ini akan dipisahkan untuk kejohanan akan datang. Kami juga bersetuju untuk memberi masa kepada jurulatih bagi mencuba kombinasi baharu,” katanya dalam satu kenyataan.

Sejak digandingkan pada hujung 2022, Tang Jie-Ee Wei berjaya meraih tiga gelaran Jelajah Dunia BWF, iaitu Masters Orleans 2023, Terbuka Taiwan 2023, dan Terbuka Korea 2024. Mereka juga mencapai ranking tertinggi dalam karier, berada di tangga ketiga dunia.