TAWARAN rasmi kepada Datuk Misbun Sidek sudah dikemukakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sekali gus menyaksikan badan induk badminton negara itu, ‘mengotakan janji’ sebagaimana diumum Presiden, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang menawarkan kepada legenda badminton itu untuk meneruskan kontrak sehingga hujung tahun.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Badminton Malaysia (ABM), Michelle Chai bahawa surat tawaran sudah dihantar berkenaan menerusi email dan juga aplikasi WhatsApp, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif, Akademi Badminton Malaysia (ABM), Michelle Chai sahkan sudah mengeluarkan surat tawaran kepada Datuk Misbun Sidek, untuk kembali ke jawatan asalnya sehingga Disember depan.

Bagaimanapun, beliau berkata, surat secara fizikal kepada Misbun akan diambil sendiri pengurus peribadi, Nor Kamal Ahmad, di pejabat BAM.

“Saya juga ada bercakap dengan Datuk Misbun berkaitan tawaran itu sebelum beliau meminta Nor Kamal Ahmad (pengurus peribadi Misbun) mengambil surat di BAM. Saya tidak berada di pejabat hari ini, jadi saya tidak dapat pastikan sama ada Kamal sudah mengambilnya atau tidak. Datuk Misbun tak ada bercakap lebih lanjut mengenai tawaran itu.

“Cuma sekarang kita tunggu sahaja jawapan daripada beliau. Tiada tempoh masa untuk beliau menjawab namun kalau boleh secepat yang mungkin,” kata Michelle.

Datuk Misbun Sidek dihubungi Michelle Chai dan maklum mengenai surat tawaran BAM. Michelle turut mengesahkan Misbun meminta pengurus peribadinya mengambil surat itu di pejabat BAM.

Pada Khamis, menerusi perbualan dengan pengurus peribadinya, Misbun menerima permohonan maaf dibuat Presiden BAM, Tan Sri Mohammad Norza Zakaria berhubung kemelut yang melanda susulan penamatan kontraknya oleh badan induk itu selaku pengarah kejurulatihan perseorangan remaja negara, minggu lalu.

Kamal dilaporkan berkata, jurulatih berusia 63 tahun itu mengakui lega selepas mendengar permohonan maaf secara terbuka dibuat Norza dalam satu sidang media, kelmarin.

Terdahulu, Misbun dalam satu sidang media menyatakan rasa terkilannya dengan tindakan Norza yang seolah-olah ‘lepas tangan’ selepas jawatankuasa khas dipengerusikan Timbalan Presiden BAM, Datuk V Subramaniam memutuskan menamatkan kontraknya lebih awal.