PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) bersetuju untuk melepaskan beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani yang membuat keputusan meninggalkan persatuan badan induk itu bermula 1 September 2024.
Perkara ini disahkan sendiri oleh Setiausaha Agungnya, Kenny Goh yang menyatakan persatuan itu menghormati keputusan gandingan di kedudukan ke-12 dunia itu untuk meneruskan karier selaku pemain profesional selepas ini.
“Saya pasti anda semua sudah mengetahui yang mereka sudah memohon untuk bergerak sendiri dan perkara ini bukanlah benda baharu.
“Jadi selepas perbincangan lanjut, kami memahami dan menghormati keputusan mereka untuk bergerak sendiri dan atas sebab itu kami melepaskan mereka bermula 1 September ini,” katanya selepas mesyuarat Ahli Majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada Sabtu.
Terdahulu, terdapat laporan menyatakan Sze Fei-Izzuddin mahu meninggalkan BAM untuk meneruskan karier mereka sebagai pemain profesional dan kini persoalan itu sudah terjawab.
Pasangan itu berjaya meloloskan diri untuk ke final Terbuka Jepun 2024 selepas mengecewakan pasangan Indonesia Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana 21-19, 21-17 pada aksi separuh akhir di Arena Yokohama.
Mereka akan bertemu pasangan Republik Korea, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae pada aksi final dan ini akan menjadi hadiah perpisahan terbaik buat mereka kepada BAM.