PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mengambil langkah besar, mengemukakan permohonan perlindungan ranking (ranking protection) ke atas pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Permohonan dibuat minggu lalu itu, dikongsi Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky.
Menurut Rexy, Tze Yong yang berada di kedudukan ranking ke-18 dunia ketika ini, terpaksa berehat untuk tempoh dua hingga tiga bulan lagi selepas dia menjalani pembedahan kedua, susulan kecederaan belakang yang dialaminya ketika Terbuka Malaysia, Januari lalu.
Justeru, Tze Yong tidak dapat menyertai saingan Masters Malaysia yang dijadual berlangsung dari 21 hingga 26 Mei ini di Axiata Arena Bukit Jalil.
“Terkini, laporan yang saya terima daripada pasukan perubatan, Tze Yong perlu berehat untuk tempoh dua hingga tiga bulan lagi selepas menjalani pembedahan kedua.
“Jadi, untuk Masters Malaysia sudah pasti dia tidak boleh beraksi.
“Kita juga sudah menghantar surat kepada BWF, minggu lalu untuk memohon perlindungan ranking buat Tze Yong,” kata Rexy.
Permohonan perlindungan ranking itu bertujuan memastikan Tze Yong kekal pada kedudukan rankingnya ketika ini, sekali gus dapat menyertai kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF sebaik dia boleh kembali beraksi untuk tempoh sehingga enam bulan.
Sekiranya ranking Tze Yong tidak dilindungi, kedudukannya akan terus merosot dan lebih teruk, mungkin perlu mengikuti kejohanan bertaraf lebih rendah sebagaimana dilalui pemain Jepun, Kento Momota.
Perlindungan ranking boleh dimohon oleh mana-mana pemain yang jatuh sakit atau mengalami kecederaan sehinggakan dia tidak berupaya beraksi di antara tiga hingga 12 bulan.
Sebaik berkuatkuasa, ia akan melindungi ranking asal pemain itu untuk supaya dia boleh terus mendaftar namanya untuk pertandingan bertaraf Jelajah Dunia BWF sebaik dia kembali cergas.
Namun, keistimewaan itu hanya boleh digunapakai mengikut tempoh pemain itu berehat atau sehingga maksima enam bulan.
Untuk rekod, Tze Yong hanya beraksi dalam dua kejohanan musim ini iaitu Terbuka Malaysia pada Januari dan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Shah Alam pada Februari.
Kecederaan yang menimpa naib juara Terbuka Artik 2023 menyaksikan dia terlepas tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 biarpun suatu ketika berada di landasan tepat untuk layak buat kali pertama ke temasya terbesar dunia itu.