BEKAS ratu beregu campuran kebangsaan, Goh Liu Ying mahu langkah proaktif perlu diambil Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dengan mengkaji sistem pembangunan atlet wanita, kerana terlalu terdedah kepada kecederaan pada usia terlalu muda.

Kegusaran Liu Ying itu disandarkan kepada fakta betapa BAM amat ketandusan dan kehilangan bakat pemain wanita, gara-gara masalah kecederaan.

“Memang pemain wanita lebih senang cedera berbanding pemain lelaki. Namun dalam program pembangunan yang dibuat, mungkin boleh menekankan kaedah latihan yang boleh mengelakkan kecederaan terutama bagi atlet wanita.

“Saya rasa ini yang paling penting kerana kita sukar mencari pemain wanita dan ketika memiliki pemain wanita, mudah cedera hingga mereka terpaksa berhenti lebih awal,” kata Liu Ying yang sering berdepan masalah kecederaan ketika bergelar pemain.

Sebelum ini, ramai pemain badminton wanita negara diulit kecederaan, malah bekas ratu perseorangan wanita, Datin Wong Mew Choo sendiri dihantui kecederaan teruk ketika bergelar pemain.

Selain itu, pemain beregu wanita Anna Cheong mengalami kecederaan ACL sehingga terpaksa berehat panjang dan melihat gandingannya Teoh Mei Xing, kini bergandingan dengan Go Pei Kee, selain pemain perseorangan wanita S Kisona terpaksa meninggalkan BAM gara-gara tidak mampu mencapai ke prestasi lebih tinggi selepas sering diulit kecederaan.

Bekas pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu turut berharap agar lebih ramai atlet pelapis mampu melakar rekod pencapaian lebih tinggi darinya ketika bergelar pemain.

“Dekat Malaysia, kita memang kurang pemain wanita, jadi saya harap selepas ini memang ada orang melebihi pencapaian saya.

“Malaysia juga perlu menumpukan perhatian kepada semua pemain wanita supaya kita boleh buat lebih bagus dengan adanya program pembangunan yang baik.”

Dalam perkembangan lain, Liu Ying yakin gandingan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing serta Goh Soon Huat-Shevon Jamie Lai berpeluang melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“Saya rasa gandingan mereka (beregu campuran) bermain dengan baik. Persaingan yang bagus. Sekurang-kurangnya dua gandingan ada peluang memasuki Olimpik,” kata pemain yang baru menggantung raket di Terbuka Malaysia baru-baru ini.