SEORANG lagi jurulatih dari Indonesia, direkrut Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam usaha meningkatkan prestasi beregu wanita negara.
Difahamkan pemilihan Muhammad Miftah itu dibuat berdasarkan pengalaman besar bekas pemain antarabangsa Indonesia terbabit, yang pernah berada dalam barisan kejurulatihan India.
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, Miftah akan membantu Hoon Thien How, meningkatkan prestasi beregu wanita.
Ujar beliau, pengalaman Miftah menjadi orang kanan kepada ketua jurulatih beregu India, Mathias Boe sebelum ini, diharapkan mampu menjadi nilai tambah kepada kekuatan pemain negara.
“Miftah sudah memulakan tugasnya semalam dan akan menjadi penolong jurulatih kepada skuad beregu wanita… Kehadirannya pasti positif berdasarkan pengalaman yang dimiliki.
“Dia sudah lama bersama skuad badminton India. Sebelum ini, dia adalah penolong kepada Tan Kim Her, Flandy Limpele dan Mathias Boe.
“Mathias Boe sangat mempercayainya, semua program diberi kepada Miftah untuk dilaksanakan termasuklah menjaga gandingan Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty (kini beregu lelaki nombor satu dunia).
“Jadi, saya percaya dia akan dapat membantu Thien How untuk meningkatkan prestasi pemain beregu wanita negara khususnya Pearly Tan-M Thinaah dalam persiapan mereka menghadapi Sukan Olimpik Paris,” kata Rexy.
Miftah juga menjadi antara watak penting di sebalik kejayaan skuad badminton India mencipta sejarah menjuarai Piala Thomas buat kali pertama pada 2022.
Kehadiran Miftah melengkapkan barisan kejurulatihan berasal dari Indonesia dalam skuad kebangsaan yang diketuai Rexy, Nova Widianto, Hendrawan dan Jeffer Rosobin.