PERSEORANGAN lelaki kebangsaan, Ng Tze Yong sudah boleh melupakan Sukan Olimpik Paris 2024, selepas disahkan akan menarik diri dari Kejohanan Badminton Asia (BAC) bulan depan.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam satu kenyataan berkata, pemain terbabit belum pulih dari kecederaan belakang dan tidak bersedia untuk menjalani latihan serta kejohanan berintensiti tinggi.

Kenyataan Media BAM mengenai penarikan diri Ng Tze Yong dari Kejohanan Badminton Asia, bulan depan.

“Pasukan perubatan sudah melakukan pemeriksaan terhadap tahap kecergasan perlawanan dan kekuatan pemain berusia 23 tahun itu sebelum mengesahkan dia belum bersedia untuk bertanding, kerana akan memburukkan lagi tahap kecederaan.

“Pasukan bedah, fisio, jurulatih dan Tze Yong bersama-sama capai kata sepakat bahawa atlet itu tidak bersedia dari segi fizikal untuk BAC yang akan berlangsung dua minggu lagi,” kata BAM dalam kenyataan yang diedarkan.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (AB), Rexy Mainaky berkata, Tze Yong masih muda dan mempunyai peluang untuk menyertai Olimpik akan datang.

Rexy Mainaky, Pengarah Kejurulatihan ABM mahu Ng Tze Yong benar-benar pulih kerana pemain itu mempunyai masa depan yang cerah.

“Keutamaan kami sentiasa kesihatan dan kebajikan pemain, proses pemulihan tze Yong dan kondisi keseluruhan dirinya menjadi kebimbangan kami.

“Berdasarkan penilaian perubatan, dengan berat hati dia akan menarik diri daripada bersaing di BAC,” kata Rexy.

Mengulas lanjut perkembangan Tze Yong dalam sesi latihan, Rexy berkata, pemain itu hanya menjalani latihan ringan di gimnasium dan belum menyambung latihan berintensiti tinggi termasuk melakukan lompatan.

Ng Tze Yong mengalami kecederaan belakang pada pusingan pertama Terbuka Malaysia Januari lalu, ketika menentang Koki Watanabe (Jepun).

“Kami akan terus memerhati perkembangan dan kondisinya dari minggu ke minnggu.

“Dia mempunyai masa depan yang cerah dan penting buat kami adalah Tze Yong pulih sepenuhnya.

“Biarpun ketiadaannya di BAC akan menyaksikan dia terlepas peluang ke Paris, dia masih muda dan mempunyai peluang bersaing di Olimpik akan datang,” katanya.

Begitupun, jika Tze Yong mempamerkan pemulihan yang baik, pemain itu mungkin tersenarai ke dalam skuad Piala Thomas, Mei depan.