PASUKAN Bank Muamalat Bullets muncul juara Corporate Super Rugby buat kali kedua berturut-turut setelah menewaskan Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) Patriots 21-9 di UM Arena, Universiti Malaya.

Pasukan PPTD Patriots membuka jaringan mata menerusi sepakan penalti dari jarak 50 meter yang disempurnakan oleh ‘flyhalf’ kebangsaan Muhammad Nazreen Fitri, sebelum Muamalat Bullets mendapatkan ‘try’ pertama menerusi Amirul Mukminin.

Nazreen terus menggandakan mata buat Patriots menerusi dua sepakan penalty padu, namun usaha tersebut disekat oleh Bullets menerusi dua ‘try’ oleh pemain kebangsaan.

Aksi final CSR pada Ahad.

Muhammad Azwan Zuwairi dan Mohamad Sofian Kamil, disusuli sepakan ‘conversion’ yangsempurna oleh Muhammad Faris Pead dan Muhamad Amirul Aqil.

Pasukan Bank Muamalat Bullets membawa pulang wang kemenangan berjumlah RM15,000.00 selaku juara, manakala PPTD Patriots memperoleh RM10,000.00 sebagai naib juara.

Kemenangan tersebut menyaksikan Muamalat Bullets menjulang kejuaraan buat kali kedua, selepas memenanginya pada edisi terakhir kejohanan pada 2022.

Kejohanan Corporate Super Rugby yang dianjurkan oleh Enervive Sports merupakan sebuah kejohanan ragbi 15 sebelah peringkat kebangsaan yang menampilkan pasukan-pasukan korporat dan badan kerajaan.