IMPIAN pemegang rekod kebangsaan 400 meter (m) wanita, Shereen Samson Vallabouy untuk layak secara merit ke Sukan Olimpik Paris, kini di landasan tepat dengan bantuan daripada kerajaan bernilai kira-kira RM400,000.
Ibunya yang juga legenda 800m wanita, Josephine Mary menghela nafas lega dengan bantuan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu, memandangkan anaknya akan menamatkan pengajian di Winona State University, hujung bulan ini.
“Itu matlamatnya, dia mahu naik ke podium Sukan Asia, mahu beraksi di Olimpik dan layak secara merit, bukan wild card dan dia berkerja keras mengatasi banyak halangan… kecederaan dan bangkit dengan lebih kuat.
“Dia seorang yang amat fokus, tak perlu saya aturkan kerana dia sendiri memilih sukan olahraga. Dari kecil saya menghantarnya menyertai pelbagai sukan dan dia memilih sukan ini, dia amat ghairah dengan olahraga dan percaya apa yang dia lakukan,” kata Josephine, selepas menghadiri sidang media pengumuman Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, mengenai pakej bantuan menyeluruh selama setahun buat Shereen menjalani latihan di Amerika Syarikat (AS), di bawah kendalian jurulatih Derrick White.
Shereen melanjutkan pengajian di Winona sejak 2019 dan semua kos ditanggung keluarganya, namun langit tidak selalu cerah, apabila pandemik Covid-19 turut membadai perniagaan bapanya, Samson Vallabouy hingga hampir merencat impian Shereen.
“Kami menanggung sepenuhnya perbelanjaan Shereen, namun lebih setahun lalu, perniagaan saya terjejas ketika pandemik.
“Selalunya saya menghantar RM10,000 sebulan untuk pelbagai kos perbelanjaan di AS tapi saya tidak mampu bertahan.
“Waktu itulah datangnya Better Malaysia Foundation (BMF), saya berterima kasih kepada Tan sri Vincent Tan (pengasas BMF) kerana membantu,” kata Samson Vallabouy.
Bantuan daripada kerajaan ini adalah yang pertama buat Shereen dan yang terbesar pernah diterima atlet wanita negara.
Bagi Josephine, bantuan dihulurkan kerajaan ini diharap dapat menjadi penyuntik semangat buat atlet-atlet muda berkerja lebih keras memburu kejayaan.
“Hari ini adalah harinya, kami berbangga dan berterima kasih kepada KBS, MSN (Majlis Sukan Negara) dan MAF (Kesatuan Olahraga Malaysia) atas semua sumbangan.
“Shereen percaya apa yang dia lakukan, apabila atlet itu percaya kepada dirinya, progres akan datang sendiri, mungkin ambil sedikit masa untuk mencapai suatu, begitu juga dengan Shereen, dari usia 13 tahun dan kini (25 tahun) dia di puncak prestasi.
“Setiap atlet perlu percaya bahawa proses latihan bukan dalam jangka pendek tapi jangka panjang dan saya harap bantuan sebegini akan hadir kepada atlet pada usia lebih muda selepas ini,” kata Josephine.
Untuk rekod, Shereen memegang rekod kebangsaan 400m wanita dengan catatan masa 51.80 saat (s) yang dilakukannya pada Kejohanan SAC Relays di Walnut, AS, 15 April lalu, mengatasi rekod berkusia 30 tahun milik Rabia Abdul Salam (52.56s) di Kejohanan Asia, Manila, Disember 1993.
Ibunya, Josephine masih memegang rekod kebangsaan acara 800m wanita (2:07.44s) yang dilakukan di Sukan Asia, Seoul, Korea Selatan September 1986.
Bapanya, Samson Vallabouy pula masih memegang rekod Sukan Sea dalam acara 800m lelaki (1:48.29s) yang dilakukannya pada temasya Sukan Sea Kuala Lumpur 1989.