HADIAH buat juara Piala Dunia Qatar sahaja akan menerima RM200.07 juta (AS$44 juta) dan hadiah keseluruhan perlu dibayar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kepada pemenang melebihi RM2 bilion (AS$440 juta).

Dalam perniagaan, jarang semudah ini.

Jika anda mengeluarkan produk yang semua orang ingin beli, pasti memperoleh wang dengan cepat.

Kelihatan banyak perlu FIFA belanjakan wang tetapi tahukan anda bahawa FIFA memperoleh pendapatan RM20.9 billion (AS$4.6 bilion) ketika menganjurkan Piala Dunia yang dihoskan Rusia pada 2018.

FIFA mengeluarkan perbelanjaan untuk membayar jawatankuasa penganjur tuan rumah Piala Dunia, hadiah kemenangan, perjalanan dan penginapan pasukan dan kakitangan sokongan, serta dana warisan bagi membantu pembagunan sukan negara tuan rumah selepas berakhir kempen Piala Dunia.

FIFA mengatur akaunnya dalam kitaran empat tahun mengikut kitaran anjuran Piala Dunia.

Berdasarkan penyata akaun 2015-2018 yang baru diterbitkan kepada umum, FIFA membawa masuk RM29.1 bilion (AS$6.4 bilion). Pada 2021, bukan tahun penganjuran Piala Dunia, FIFA memperoleh RM3.45 bilion (AS$766 juta).

Jadi.. mana datangnya perolehan FIFA?

HAK SIARAN TELEVISYEN

Kebanyakan pendapatan FIFA adalah datang dari penjualan hak siaran kepada stesen Televisyen (TV) bagi Piala Dunia dan juga kejohanan antarabangsa yang lain.

Daripada RM29.1 bilion (AS$6.4 bilion) yang dihasilkan pada kitaran kewangan lalu, RM20.9 billion (AS$4.6 bilion) datang dari hak siaran TV.

HAK PEMASARAN

Jenama global membayar FIFA untuk hak pengiklanan di majlis-majlis yang dijalankan organisasi terlibat. Jenama terbesar boleh bekerjasama dengan FIFA membabitkan program pembangunan dan rancangan tanggungjawab sosialnya, bermakna mereka bersama FIFA iaitu pihak yang tidak berasaskan keuntungan, melabur dalam sukan bola sepak antarabangsa, kebangsaan serta akar umbi.

Jenama terbesar selepas ini dibenarkan untuk mempamer iklan di Piala Dunia yang merupakan acara televisyen yang paling banyak ditonton di planet ini. Kira-kira lima bilion orang, lebih separuh daripada penduduk bumi, dijangka mengikuti kejohanan tahun ini.

Dalam kitaran sebelum Piala Dunia 2018, urus niaga hak pemasaran memperoleh RM7.55 bilion (AS$1.66 bilion) kepada FIFA. Malah pada tahun 2021, hasil daripada penjualan hak pemasaran berjumlah RM595.65 juta (AS$131 juta).

Ibu Pejabat FIFA sendiri berada di Zurich, Switzerland, yang terkenal sebagai Kota Pentadbiran Kewangan.

JUALAN TIKET DAN HOSPITALITI

Satu lagi sumber utama pendapatan FIFA.

Keseluruhan pendapatan daripada hak tiket pergi ke anak syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh FIFA. Dalam kitaran 2015-2018, badan induk bola sepak dunia itu memperoleh RM3.24 bilion (AS$712 juta).

Pada 2021, jualan tiket untuk Piala Arab, yang berjaya menarik kira-kira 600,000 orangke stadium, menjana kira-kira RM54.63 juta (AS$12 juta).Dianggarkan, sebanyak tiga juta tiket Qatar 2022 telah dijual. Harga tiket di Qatar 2022 dianggar sekitar RM455 hingga RM5,000 (AS$100-AS$1,100), ia pasti menjadi satu lagi tahun yang memberangsangkan.

PENJENAMAAN DAN PELESENAN

FIFA juga meraih wang tunai melalui pelesenan jenamanya. Paling terkenal ialah siri permainan bola sepak FIFA Electronic Arts, yang dilaporkan menjana jualan RM92 bilion (AS$20 bilion) untuk EA sepanjang perkongsian 20 tahunnya dengan FIFA.

Difahamkan, pengeluar permainan itu telah membayar FIFA dalam lingkungan RM682.87 juta (AS$150 juta) setiap tahun untuk hak menggunakan nama FIFA.

Pada 2021, FIFA memperoleh RM819.95 juta (AS$180 juta) hasil melesenkan jenamanya untuk barangan, runcit dan permainan. Pada tahun yang sama, FIFA menerima pemberian RM915.05 juta (AS$201 juta) daripada Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) sebagai pampasan bagi kerugian akibat rasuah selepas berpuluh-puluh eksekutif tertinggi FIFA didakwa pada 2015.