LEGENDA renang kebangsaan, Nurul Huda Abdullah kembali namun bukan sebagai perenang, sebaliknya menggalas tanggungjawab mengembalikan maruah sukan renang negara.
Selepas sekian lama menyepi sejak bersara seawal usia 18 tahun, beliau kini bakal memainkan peranan dalam bidang pengurusan.
Kelicikannya di kolam renang suatu masa dahulu, menyaksikan Nurul Huda mengumpul 23 pingat emas sejak mengambil bahagian di Sukan Sea ke-13 di Bangkok, Thailand.
Beliau juga muncul perenang negara pertama memenangi pingat di Sukan Asia dan Kejohanan Renang Asia.
Biarpun pernah meraih pelbagai kejayaan indah dalam acara renang, Nurul Huda berkata, tanggungjawab yang dipikulnya kali ini tidak mudah dan memerlukan masa untuk mengembalikan kegemilangan sukan renang.
“Berikan saya dan muka baharu di MS kaji perenang yang berpotensi terlebih dahulu. Saya tidak boleh beri sebarang janji kerana sebarang kejayaan dalam sukan ini tidak mungkin berlaku dalam sekelip mata, ia mengambil masa.
“Sukan renang kita agak ketinggalan di belakang dan kami mahu memainkan peranan masing-masing.
“Kami tahu bahawa ia satu cabaran besar untuk bergerak ke hadapan, tetapi kami semua sangat komited untuk menyumbang kepada prestasi perenang negara,” katanya, selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Atlet ke temasya Sukan Asia di Hangzhou.
Nurul Huda antara tiga muka baharu yang terpilih dalam Mesyuarat Agung Tahunan ke-54, Persekutuan Renang Malaysia (MS) bagi penggal 2023/2025 baru-baru ini.
Dua lagi muka baharu adalah ketua jurulatih renang Selangor, Marilyn Chua yang dipilih sebagai naib presiden, dan calon dari Negeri Sembilan, Andy Low yang dipilih sebagai setiausaha agung yang baru.
Badan induk sukan renang yang baru dipilih itu akan bermesyuarat kali pertama Ahad ini.
Mengimbau zaman kegemilangan Nurul Huda, beliau pernah mencetus sensasi memenangi sembilan emas pada Sukan Sea 1989 di Kuala Lumpur.
Nurul Huda juga muncul atlet pertama negara memenangi pingat dalam acara renang di Sukan Asia 1986 di Seoul, Korea Selatan.
“Kita perlu belajar menerusi cara bagaimana negara lain melakukannya dengan baik, di samping meletakkan sasaran pada acara tertentu yang perlu diberi tumpuan pada masa hadapan,” katanya.
Mengulas mengenai penyertaan atlet renang ke Sukan Asia ke-19 di Hangzhou, China bermula September depan, Nurul Huda berkata, MS menghantar enam nama atlet kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk menyertai temasya empat tahun sekali itu.