SKUAD hoki lelaki Pahang membuka saingan Sukan Malaysia (SUKMA XX) dengan bergaya apabila mengatasi Pulau Pinang 3-2, dalam aksi kumpulan B, di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, hari ini.
Perlawanan pembukaan yang amat penting skuad Tok Gajah yang mahu merampas pingat emas yang tercicir pada edisi 2018.
Ketua jurulatih, Mohd Sufian Mohamad gembira dengan prestasi anak-anak buahnya biarpun mengakui masih banyak perkara yang perlu diperbaiki untuk aksi seterusnya.
“Permulaan yang sangat baik, cuma pemain tidak dapat jaringkan gol selepas dihidangkan peluang yang begitu banyak. Saya gembira dengan pemain yang sabar mencari gol dan mereka memberikan komitmen tinggi hingga perlawanan tamat.
“Saya akan buat analisis video, selain itu mahu fokus kepada set piece pukulan sudut penalti (PC). Hari ini kita dapat banyak PC tetapi set piece kita tidak sempurna,” katanya, selepas tamat perlawanan.
Dalam masa sama, Mohd Sufian mengakui, kemenangan itu menyuntik semangat barisan pemainnya untuk menebus kekalahan final di tangan Sabah menerusi penentuan penalti shoot-out pada SUKMA Perak 2018.
Terdahulu, dalam aksi terbabit, tiga gol Pahang masing-masing dijaringkan Muhammad Idris Saad pada minit ke-22 dan 40 dan satu menerusi Muhammad Noor Firdaus Rosdi pada minit ke-37.
Manakala gol Pulau Pinang menerusi Angad Singh Khalsa dan Muhammad Haikal Hilman Mohamad Hanfiah pada minit ke-35 serta 51.