PEMILIK Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim melihat banyak wang dalam industri bola sepak tempatan dibelanjakan kepada perkara yang tidak berfaedah sepanjang 11 tahun penglibatannya dalam sukan ini.
Tunku Ismail berkata perkara paling utama dan mustahak dalam bola sepak adalah padang kerana ianya mampu memberikan persembahan yang bagus kepada kelab bola sepak tempatan sekali gus membentuk skuad kebangsaan yang lebih berkualiti.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Majlis Perasmian Projek Penggantian Rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil yang menyaksikan ‘Home of Harimau Malaya’ itu bakal mempunyai rumput jenis Zeon Zoysia yang lebih berkualiti dan berdaya tahan.
Majlis perasmian projek penggantian rumput Stadium Nasional Bukit Jalil oleh @HRHJohorII pic.twitter.com/MwK2izg9GZ
— Flash Sukan (@FlashSukan) March 18, 2023
“Untuk ada padang yang bagus dalam kelab bola sepak akan membantu melonjakkan prestasi pasukan kerana para pemain mampu beri potensi sebenar dan secara positifnya ianya akan memberi kebaikan kepada banyak pasukan yang mempunyai inisiatif yang sama.
“Saya sudah 11 tahun industri bola sepak dan saya lihat banyak kewangan kelab diberikan kepada benda yang tidak berfaedah. Kita berbelanja pada pemain import, menukar tempat duduk pemain simpanan tetapi tidak menukar padang iaitu perkara yang paling mustahak dalam bola sepak.
“Kita semakin ketinggalan dalam kualiti fasiliti bola sepak kepada Indonesia, Kemboja, Vietnam dan Thailand. Sampai bila kita hendak menggunakan ‘cow grass‘. Sudah sampai masa untuk berubah.
“Saya berharap inisiatif yang Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) lakukan adalah sangat baik dan dapat disambut oleh semua kelab dalam negara kerana ianya akan memberikan penambahbaikan kepada setiap pasukan dan juga akan berikan ‘dominos effect‘ kepada pasukan kebangsaan,” katanya dalam sidang media.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Menteri Belia Dan Sukan, Hannah Yeoh dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia, Mohd Faidz Sanusi.
KBS dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) telah mengambil keputusan untuk menggantikan rumput sedia ada kepada jenis Zeon Zoysia berdasarkan kejayaan penggunaan rumput itu di Stadium Sultan Ibrahim sebelum ini dan yakin penggunaan rumput ini mampu menyelesaikan isu kualiti padang di Stadium Nasional.