SEORANG wakil gerila National Liberation Army (ELN) Colombia mengumumkan bahawa kumpulan itu bakal membebaskan bapa bintang terkenal Liverpool, Luis Diaz, beberapa hari selepas insiden penculikan yang berlaku di utara Colombia.

Kerajaan Colombia pada hari Khamis mengesahkan bahawa ELN bertanggungjawab di atas penculikan yang melibatkan bapa pemain utama pasukan kebangsaan Colombia pada hujung minggu lalu.

Wakil ELN, Juan Carlos Cuellar memberitahu mesyuarat komuniti, seperti yang dilihat dalam klip video yang dikongsi oleh ELN bersama Reuters bahawa bapa Luis Diaz akan dibebaskan ‘secepat mungkin’.

Delegasi keamanan kerajaan, yang sedang dalam perundingan dengan ELN, mengeluarkan kenyataan bahawa mereka secara rasmi mengetahui bahawa penculikan tersebut telah dilakukan oleh satu unit yang bergabung dalam ELN.

“Kami menuntut agar ELN segera melepaskan Encik Luis Manuel Diaz dan mereka bertanggungjawab sepenuhnya untuk menjamin keselamatan dan integritinya,” kata Otty Patino, yang mengetuai delegasi keamanan.

ARTIKEL BERKAITAN : Ibu Luis Diaz diselamatkan selepas diculik, bapanya masih hilang

Bapa Diaz masih lagi belum dibebaskan.

Terdahulu, kedua ibu bapa Diaz yang bercuti di Columbia telah diculik lelaki bersenjata pada Sabtu di sebuah stesen minyak di bandar kecil Barrancas. Namun, pihak polis berjaya menyelamatkan ibunya, Cilenis Marulanda beberapa jam selepas mengadakan sekatan jalan berhampiran sempadan Colombia dengan Venezuela.

Bapa Diaz yang masih hilang ketika itu menyebabkan penubuhan pasukan khas untuk mencarinya di banjaran gunung yang merentasi kedua-dua negara dan diliputi hutan awan.

Pihak polis juga menawarkan ganjaran berjumlah $48,000 (RM227,808) kepada sesiapa yang menjumpai bapa kepada pemain penting dalam skuad kebangsaan Colombia itu.

Image

Pemain sayap berusia 26 tahun itu tidak menghadirkan diri dalam perlawanan Liverpool menentang Nottingham Forest pada hari Ahad. Rakan sepasukannya menyatakan solidariti mereka dengan rakyat Colombia dengan mengangkat salah satu jersi Diaz di padang selepas menjaringkan gol pertama dalam kemenangan 3-0 Liverpool.