LEGENDA sensasi Brazil, Edson Arantes do Nascimento atau lebih mesra disapa Pele yang menderita penyakit kanser kolon kini berada dalam keadaan yang semakin kritikal dan tenat.

Pemenang tiga kali Piala Dunia itu nyata berada dalam keadaan sangat merbahaya meskipun telah tiga minggu berada di hospital.

Suasana sebak terus mengiringi anaknya, Kelly Nascimento apabila gagal membawa bapanya pulang menyambut perayaan Hari Natal dan hanya akan meraikannya di hospital.

“Suasana Krismas di rumah terpaksa ditangguhkan. Kami telah berbincang dengan doktor bahawa keputusan paling baik pada ketika ini adalah merehatkan ayah saya di hospital,” ujar Kelly.

Sementara itu, Pihak Hospital Israelita Albert Einstein menyatakan Pele kini perlu dipantau dengan teliti memandangkan penyakit barahnya telah pergi ke fasa paling merbahaya.

“Perkembangan kanser yang dialami Pele semakin buruk kerana keadaan terkini buah pinggangnya telah gagal berfungsi serta tekanan jantung perlu diawasi dengan teliti dan dipantau dari semasa ke semasa,” jelasnya.

Pele adalah legenda sepanjang zaman pasukan The Samba apabila merekodkan 77 jaringan dalam 92 perlawanan serta berjaya membantu Brazil meraih hatrick Piala Dunia pada 1958, 1962 dan 1970.

Rata-rata pemain Brazil menunjukkan penghargaan terhadap sumbangan legenda Samba itu dengan menaikkan kain rentang tertera nama dan gambar Pele sejurus tamat aksi pusingan 16 terbaik dengan membenam Korea Selatan untuk mara ke suku akhir Piala Dunia Qatar 2022.