BARCELONA FC memulakan kempen Liga Juara-Juara mereka dengan kekalahan mengecewakan di tangan pasukan yang sama menewaskan mereka beberapa minggu lalu dalam Trofi Joan Gamper, Monaco. 

Titik perubahan besar dalam perlawanan berlaku apabila penjaga gol Barca, Ter Stegen, membuat kesilapan dengan memberikan hantaran kepada Takumi Minamino. Dalam usaha untuk menghalang pemain Jepun itu, Eric García terpaksa menjatuhkannya sehingga menyebabkan dia dilayangkan kad merah.

Situasi ini membuatkan Barca hilang kawalan, selepas Eric Garcia dilayangkan kad merah hanya sepuluh minit selepas perlawanan bermula sehingga memaksa mereka untuk bertahan sepanjang baki permainan.

Monaco berjaya mengambil kesempatan daripada kekurangan pemain Barcelona apabila Akliouche menggelecek dengan mudah melepasi pertahanan Barca dan menjaringkan gol pada minit ke 16, menewaskan Ter Stegen. 

Lamine Yamal, meraihkan jaringan penyamaan pada minit ke 28 perlawanan.

Meskipun berada dalam keadaan sukar, pemain muda Barca, Lamine Yamal, muncul sebagai penyelamat dengan gol solo yang menakjubkan yang dijaringkannya pada minit ke 28 perlawanan.

Gol ini tidak hanya menyamakan kedudukan, tetapi juga menjadikannya penjaring kedua termuda dalam sejarah Liga Juara-Juara, hanya 28 hari lebih tua daripada pemegang rekod, Ansu Fati. 

Tersentak dengan gol penyamaan yang dijaringkan oleh Barca, pasukan tuan rumah bangkit semula untuk memanfaatkan kelebihan pemain untuk menguasai sebahagian besar perlawanan serta melepaskan banyak percubaan ke arah gawang Barcelona.

Barcelona berusaha mengatasi tekanan dan meningkatkan ancaman ketika perlawanan menghampiri penghujungnya. Namun, Monaco sekali lagi berjaya menjaringkan gol melalui serangan pantas, dengan Ilenikhena meledakkan gol kemenangan pada minit ke 71.

Barcelona hampir menerima hukuman penalti apabila Martinez didapati bersalah, tetapi keputusan itu dibatalkan selepas semakan VAR.

Barcelona kini akan memberi tumpuan kepada perlawanan kedua Liga Juara-Juara mereka menentang Young Boys dari Switzerland pada 1 Oktober depan.

Namun sebelum itu, mereka perlu menghadapi tiga perlawanan La Liga, bermula dengan pertembungan menentang Villarreal di Camp Nou pada Ahad ini.