NADA keresahan mula kedengaran di kalangan penyokong Selangor FC mengenai ketandusan pemain penyerang, Faisal Halim yang masih kemarau jaringan di Liga Super musim ini.
Bagaimanapun, situasi ini tidak terlalu merisaukan Tan Cheng Hoe serta barisan kejurulatihan Selangor kerana perkara utama ditekankan adalah sumbangan kepada pasukan.
“Kami barisan kejurulatihan tidak terlalu risaukan Faisal Halim tentang tidak jaringkan gol. Yang penting sumbangan dia kepada pasukan cukup penting.
“Hari ini walaupun dia tak jaringkan gol tapi dia memberikan satu assist untuk Ayron Del Valle menjaringkan gol.
“Itu bermakna sumbangan dia amat terbaik. Kita tak terlalu menekan Faisal Halim yang penting kemenangan berpihak kepada pasukan,” katanya kepada FLASH SUKAN selepas perlawanan di Stadium Bandaraya.
ARTIKEL BERKAITAN: Merah Kuning ‘ngap’ Harimau Kumbang
Jurulatih asal Kedah itu mengaku taktikal anak buahnya sedikit kucar kacir sebaik Penang menukar pemain di bahagian serangan pada babak kedua.
“Kita tak dapat menyusun baik barisan pertahanan hingga dibolosi gol. Tapi babak kedua terakhir kita dapat atasi kelemahan pasukan dan dapat jaringan gol yang cukup bermakna,” katanya.
Cheng Hoe juga akan menyiapkan barisan terbaik dalam menghadapi pendahulu semasa, Johor Darul Ta’zim pada pertembungan di Petaling Jaya, Jumaat ini.