PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mengumumkan barisan kejurulatihan baharu untuk Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara menerusi satu sidang media yang dijangka  minggu ini.

Bercakap kepada media selepas majlis kerjasama strategik antara FAM dan KIA, Setiausaha Agung FAM Mohd Saifuddin Abu Bakar menjelaskan bahawa barisan kejurulatihan baharu ini terdiri daripada gabungan jurulatih luar dan dalam negara.

Input daripada Ketua Jurulatih Kebangsaan Kim Pan-gon juga diambil kira kerana ianya penting sebagai kesinambungan bagi pemain B-23 untuk naik ke pasukan senior kebangsaan selain tiada petunjuk prestasi utama (KPI) yang akan ditetapkan buat masa ini untuk pengganti Brad Maloney itu.

Mohd Saifuddin Abu Bakar

 

“Kami akan umumkan barisan kejurulatihan skuad B-23 minggu ini menerusi sidang media. Barisan ini terdiri daripada gabungan jurulatih luar dan dalam negara serta kami sudah pun memuktamadkan dan akan mendedahkannya.

“Keputusan telah dibuat dan kami tidak boleh mendedahkan berapa ramai calon yang ditemuduga. Kami ada bertanya pendapat Kim Pan-gon kerana ianya penting untuk kesinambungan antara dua skuad ini.

“Pengumuman ini juga perlu dilakukan segera sebelum skuad Harimau Malaya bersedia untuk menghadapi King’s Cup di Chiang Mai dari 20 hingga 26 September kerana berkemungkinan ada beberapa pemain dari skuad B-23 ini akan dibawa bersama.

“Sudah pasti tugasan yang berat menanti barisan kejurulatihan baharu ini dan petunjuk prestasi utama tidak akan ditetapkan buat masa ini dan hanya akan dijawab oleh Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donnell,” katanya kepada media pada Isnin.

Skuad senior kebangsaan akan memulakan latihan pusat bermula 15 September sebelum berangkat ke Thailand untuk menghadapi Kejohanan King’s Cup dengan Thailand, Tajikistan dan Trinidad and Tobago bakal menjadi ujian buat pasukan negara.