KETIKA tumpuan terarah kepada beregu pertama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menyifatkan kemenangan menentang gandingan Chinese Taipei, Chang Ko Chi-Po Li Wei 23-21 21-16 adalah berpunca daripada semangat jitu yang dipamerkan dan berada dalam keadaan tenang sepanjang perlawanan.
“Perlawanan hari ini kita main agak baik. Kita pun main dengan lebih passion,” ujar Aaron selepas mara ke separuh akhir Masters Malaysia.
Sementara itu, Wooi Yik pula berpendapat pada mulanya dia agak terkejut dengan kekuatan lawan ditambah pula belum pernah bertembung sebelum ini.
Bagaimanapun, mereka kembali mendapat rentak sebenar permainan pada set kedua apabila meninggalkan lawan dengan perbezaan mata yang jauh sekaligus mara ke separuh akhir.
“Gandingan Taiwan kita tak pernah lawan mereka, kita pun tak pasti. Kita masuk dan kita main cara gameplay kita dulu. Kita pun agak terkejut dengan permainan lawan. Mereka agak keras, strength mereka agak kuat.
“Kita banyak tak adapt dekat set pertama. Dah lepas set pertama tu, kita memang fokus dengan set kedua, gap sudah jauh, dan game memang okaylah,” jelas Wooi Yik.
Menjelang perlawanan bertemu gandingan Indonesia hari ini, mereka menganggap ia adalah perlawanan pusingan pertama bagi meredakan tekanan selain menamatkan badi kandas di peringkat separuh akhir dan akhir.
“Saya rasa kita perlu lebih banyak fokus dekat diri sendirilah, esok baru pusingan pertama, bukan separuh akhir. Esok baru bermula kejohanan,” tegas beregu kelapan dunia itu.
Terdahulu, Wan Arif Wan Junaidi-Muhammad Haikal, Shevon Lai Jamie-Goh Soon Huat dan Anna Cheong- Teoh Mei Xing gagal meneruskan aksi di peringkat separuh akhir setelah tewas kepada lawan masing-masing pada 8 Julai.