KETUA jurulatih pasukan Baseball5 Malaysia, Cheong Ho Yeen berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan oleh para pemain meskipun nasib tidak menyebelahi mereka untuk ke peringkat separuh akhir esok.

Malaysia tewas tiga dari empat perlawanan dalam peringkat Super Round yang menyaksikan skuad negara gagal merebut empat tempat teratas untuk layak ke separuh akhir.

“Saya sangat gembira dan berpuas hati cuma nasib tidak menyebelahi kami. Para pemain sudah menunjukkan komitmen serta kesungguhan mereka dan kami akan kembali selepas ini untuk Kejohanan Asia tahun hadapan.

 

Para pemain sedia ada akan dikekalkan dan kemungkinan akan ada dua atau tiga pemain baharu yang mempunyai pengalaman dalam sukan baharu ini untuk memperkuatkan pasukan selepas ini.

Apa yang penting, pemain mendapat pengalaman bermain dengan kuasa besar sukan Baseball seperti Jepun, Chinese Taipei dan Korea Selatan,” katanya secara eksklusif kepada FLASH SUKAN.

Sementara itu, ketua pasukan Nurul Amira Farhana Mohd Yusaimi yang baru menyertai pasukan selepas kehilangan datuk kesayangan pada Selasa tetap berbangga dengan pencapaian Malaysia dalam kejohanan ini.

Amira juga mahu kegagalan ke Piala Dunia ini dijadikan pembakar semangat buat dirinya serta rakan sepasukan untuk berlatih lebih kuat dan akan kembali dengan lebih baik pada kejohanan akan datang.

Cheong Ho Yeen (belakang,kiri) dan Amira (bawah, dua kanan).

“Dengan pasukan yang baru ditubuhkan, saya gembira mendapat keputusan ini cuma jika kita berjaya ke separuh akhir pastinya lebih baik. Apa pun saya berbangga dengan pencapaian skuad kali ini.

“Kami akan gunakan kegagalan ke Piala Dunia ini untuk bekerja lebih keras kerana kita tewas kepada pasukan yang lebih baik iaitu Chinese Taipei, Jepun, Korea Selatan dan juga Hong Kong,” katanya yang juga adalah pemain softball kebangsaan.

Skuad Baseball5 Malaysia menamatkan saingan Piala Asia Baseball5 ditangga kelima dari sembilan pasukan yang bertanding namun tidak dapat mencapai sasaran awal untuk sekurang-kurangnya berada di tempat ketiga terbaik seterusnya layak ke Piala Dunia Baseball5 di Mexico November depan.