PINGAT emas acara lebuhraya yang dimenangi pada dua Temasya Sukan SEA lalu, perlu dikekalkan skuad negara, apabila bersaing pada temasya dwi tahunan itu di Thailand, 2025.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh berkata, satu strategi terbaik perlu difikirkan untuk memastikan emas acara lepas beramai-ramai elit lelaki di Sukan SEA 2025, Thailand, kekal milik Malaysia.

Pada temasya lalu di Phnom Penh, Kemboja, pelumba profesional Terengganu Cycling Team (TSG), Nur Amirull Fakhruddin Mazuki memenangi emas.

“Secara peribadi, saya mahu skuad berbasikal negara menang di Sukan SEA 2025 di Thailand nanti. Bagaimanapun, bukan tugas yang mudah kerana Thailand juga memiliki barisan pelumba terbaik,” katanya, dalam satu kenyataan dikeluarkan PKBM pada Jumaat.

Amarjit yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) bagaimanapun menegaskan skuad kebangsaan yang dibimbing oleh jurulatih tempatan, Yusuf Nasir berdepan dengan tugas sukar sekiranya tidak menerima bantuan kewangan daripada mana-mana pihak termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Nur Amirull Fakhruddin Mazuki memenangi pingat emas Berbasikal Lebuhraya, lepas beramai-ramai di Sukan Sea Kemboja, 2023.

Malaysia bakal melakar sejarah unik menang pingat emas buat kali ketiga berturut-turut menerusi acara lepas beramai-ramai elit lelaki di temasya Sukan SEA sekiranya berjaya mempertahankan pencapaian dikecapi pada 2021 di Vietnam dan 2023 di Kemboja.

Pada temasya Sukan SEA 2023, Nur Amirull Fakhruddin cemerlang apabila merangkul pingat emas acara lepas beramai-ramai elit lelaki di laluan di Angkor Wat, Siem Reap.

Pada temasya Sukan SEA 2021 di Hanoi pula, skuad kebangsaan Malaysia yang dibimbing jurulatih legenda, Datuk Ng Joo Ngan menebus kehampaan pada edisi 2019 di Filipina selepas Muhammad Nur Aiman Zariff menghadiah pingat emas menerusi acara lepas beramai-ramai elit lelaki.

Muhammad Nur Aiman Zariff memenangi pingat emas Berbasikal Lebuhraya, lepas beramai-ramai di Sukan Sea Vietnam.

Amarjit yang juga Naib Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) menegaskan bahawa PKBM akan melakukan apa sahaja demi mengekalkan pencapaian menang pingat emas di Sukan Sea 2025 di Thailand nanti.

“Sekiranya formula di Hanoi dan Siam Riep iaitu memerah tenaga pasukan profesional khususnya TSG menepati kehendak di Thailand, saya akan bekerja keras untuk memastikan ia boleh direalitikan,” katanya.

Bagaimanapun, Amarjit yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Berbasikal Asean (ACF) percaya bantuan kewangan khususnya dari KBS dan Majlis Sukan Negara (MSN) boleh meneruskan kelangsungan rentak cemerlang skuad berbasikal lebuhraya Malaysia.

“Agenda utama saya selepas menjadi Presiden PKBM ialah menjalin hubungan baik dengan KBS dan MSN. Saya berharap Menteri Belia dan Sukan (Hannah Yeoh) bersedia untuk membantu pasukan lebuhraya negara untuk beraksi cemerlang di Sukan SEA 2025 di Thailand nanti,” katanya.