TAHAP persaingan tinggi dijangka berlaku pada saingan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC), menjadikan situasi buat pasukan negara dalam keadaan sukar untuk mempertahan kejuaraan.
Pemain perseorangan lelaki, Leong Jun Hao berkata, saingan yang akan membuka tirai Selasa ini, pasti menyajikan persaingan sengit, berikutan pemain terbaik dibawa setiap negara kerana memburu mata kelayakan ke Olimpik Paris.
“Perbezaam edisi 2022, ada pasukan dari negara lain yang tidak menghantar pasukan terkuat dan kami menang. Tapi kali ini mereka akan hantar pasukan terkuat dan pemain terbaik.
“Ia akan menjadikan kejohanan ini (BATC) lebih kompetitif sebab ada kelayakan Olimpik (menawarkan mata ke Olimpik Paris 2024) dan sebab itu semua pasukan akan hantar pasukan terbaik mereka,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.
Begitupun, Jun Hao yang berada di ranking ke-38 dunia itu berjanji akan menampilkan aksi terbaik setiap kali diturunkan dalam kejohanan itu.
“Saya perlu lebih konsisten untuk kejohanan ini (BATC) dan bantu pasukan mendapatkan mata sekali gus capai kemenangan.
“Saya kena sentiasa bersedia dan berhati-hati agar tidak mengalami kecederaan lagi. Pada kejohanan sebelum ini, bila saya kalah dalam setiap perlawanan, ia memberi pengalaman dan saya akan belajar dari situ,” katanya
Jun Hao disenaraikan ke dalam skuad BATC 2024 bagi menggantikan Justin Hoh yang mengalami kecederaan lutut kanan.
Malaysia dijangka tidak akan menghadapi masalah besar untuk ke pusingan seterusnya selepas diundi dalam kumpulan B bersama Taiwan, Brunei dan Kazakhstan.