SKUAD wanita negara terpaksa akur sebagai naib juara Kumpulan Y, selepas tumpas 1-4 pada aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Thailand, Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Pusat Konvensyen Setia City, sebentar tadi.
Walaupun tumpas, Malaysia tetap ke suku akhir esok, mengiringi Thailand, namun bakal berdepan tugas sukar kerana bakal bertemu juara Kumpulan W, X atau Z.
Penyumbang mata tunggal negara, Wong Ling Ching berkata, walaupun mereka tumpas kepada Thailand, namun sentiasa boleh memberi tentangan bagi setiap perlawanan.
“Ada aksi yang diheret sehingga ke rubber set, malah mata pula dekat-dekat. Saya rasa boleh untuk kejar mereka. Jurang tidak jauh, cuma kena perlu pertingkatkan lagi,” kata pemain berusia 21 tahun itu.
Pemain perseorangan profesional wanita negara, Goh Jin Wei gagal menghalang Supanida Katethong daripada meraih mata pertama, walaupun dia cuba bangkit di set kedua sebelum tumpas 13-21, 24-26.
Hasrat melihat pasukan wanita negara menyamakan kedudukan tidak kesampaian, apabila beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah kalah kepada Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai 22-20, 15-21, 19-21.
Thailand mengesahkan kemenangan selepas perseorangan kedua mereka, Busanan mengalahkan perseorangan kedua negara, K Letshanaa 21-17, 21-18.
Skuad wanita negara terus lemas hanyut apabila Thailand menambah mata keempat melalui gandingan adik-beradik, Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard selepas mengalahkan Tan Zhing Yi-Teoh Mei Xing 21-17 21-18.
Dalam perlawanan perseorangan terakhir, Ling Ching berjaya menghadiahkan mata saguhati negara dengan mencatat kemenangan 19-21, 21-15, 21-16.