LEE Zii Jia tidak dapat diturunkan pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 menentang China, sekali gus menyaksikan skuad negara menampilkan pemain beregu mengisi kekosongan perseorangan ketiga, petang ini.

Di atas kertas, tentunya senarai itu kelihatan canggung, namun barisan kejurulatihan mungkin ada formula untuk mencuri tiga mata berharga sekali gus mempertahan kejuaraan yang dimenangi dua tahun lalu.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerusi aplikasi ‘X’ berkongsi senarai pemain yang akan tampil di final jam 4 petang ini, dengan Leong Jun Hao mengisi slot perseorangan pertama, Eogene Ewe (kedua) manakala pemain beregu lelaki, Muhammad Haikal Nazri sebagai perseorangan ketiga.

“Selepas perlawanan semalam (menentang Jepun), Lee Zii Jia mengalami kesukaran bernafas kerana masalah resdung (sinus) dialami dan tidak dapat pulih sepenuhnya bagi perlawanan hari ini,” ciap BAM.

Justeru, sandaran utama memburu mata, tentunya diharapkan daripada dua beregu iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.

Namun, Jun Hao tentunya bakal menjadi penentu nasib skuad negara ketika berdepan Weng Hong Yang, kerana berdasarkan rekod pertemuan tunggal, Jun Hao mengatasi lawan dari China itu Malaysia Masters 2022.

Namun, Eogene Ewe yang akan berdepan Lei Lan Xi juga boleh mengubah keadaan kerana kedua-dua pemain hanya bertemu sekali di Siri Antarabangsa Malaysia 2022, yang memihak pemain China itu.

Ketiadaan Zii Jia kali gus meletakkan Haikal menggalas tugas selaku perseorangan ketiga menentang Wang Zheng Xing.

Bekas juara dunia, Aaron-Wooi Yik mengambil tanggungjawab selaku beregu pertama dan akan menentang Xie Hao Nan-Zheng Wei Han manakala Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei berdepan Liu Yi-Ren Xiang Yu.

Pada aksi suku akhir menentang Singapura, kelmarin, Zii Jia juga tidak dapat diturunkan susulan masalah resdung dialaminya.

Ketiadaan bekas juara Seluruh England itu menyaksikan Ng Tze Yong diturunkan tetapi terpaksa menarik diri ketika set pertama menentang Jason Teh selepas kecederaan belakang dialaminya sebelum ini kembali menghantuinya.

Bagaimanapun, Zii Jia kembali memperkuatkan cabaran negara pada aksi separuh akhir bertemu Jepun, semalam dan menyumbang satu mata untuk Malaysia meraih kemenangan 3-1.