BAGAI diramal, tiada masalah buat skuad lelaki negara melepasi ujian pertama Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) apabila mengatasi Brunei 5-0, sebentar tadi.
Pada aksi yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong yang belum pulih sepenuhnya dari kecederaan belakang, kembali ke gelanggang dan menyumbang mata pertama menerusi kemenangan ke atas Kan Kah Kit 21-7, 21-11.
Dua lagi perseorangan negara, Leong Jun Hao dan Eogene Ewe turut tidak berdepan masalah meraih apabila berjaya menewaskan masing-masing sekali gus memberi kemenangan awal kepada Malaysia dengan kedudukan 3-0.
Jun Hao yang disenaraikan pada saat akhir bagi menggantikan Justin Hoh yang mengalami kecederaan, hanya memerlukan 19 minit bagi menewaskan Marhanif Ali 21-5, 21-6 manakala Eogene menundukkan Mattew Minggat 21-8, 21-4.
Beregu lelaki negara, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazari yang membuat penampilan sulung pada kejohanan kali ini menyumbang mata keempat selepas mengetepikan cabaran Marhanif-Haziq Roze 21-5, 21-12.
Gandingan Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei melengkapkan kemenangan skuad negara apabila mengatasi Mattew Minggat-Mohamad Iqbal Asyraf Mohammad 21-9, 21-7.
Kapten pasukan, Soh Wooi Yik berkata, semua pemain menunjukkan prestasi yang baik termasuk pemain yang kali pertama beraksi di kejohanan ini.
“Semuanya berjalan lancar dan saya gembira pemain yang kali pertama bermain, mengambil pengalaman dan menunjukkan prestasi yang baik,” kata Wooi Yik.
Malaysia kini hanya perlu menang ke atas Kazakhstan pada aksi kedua, esok bagi mengesahkan tiket ke peringkat suku akhir sebelum membuat perhitungan dengan Taiwan pada aksi terakhir dalam aksi penentuan juara kumpulan.
Juara dan naib juara kumpulan akan layak ke pusingan kalah mati.
Pemenang dalam aksi kelompok lapan terbaik akan layak secara automatik ke saingan Piala Thomas di Chengdu, China pada April depan.