PASUKAN lelaki menepati ramalan sebagai pilihan ketiga/empat kejohanan, apabila mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024, selepas mencapai kemenangan kedua dalam kumpulan B pada Rabu.
Skuad negara yang diketuai Lee Zii Jia tiada masalah membenam cabaran Kazakhstan 5-0, namun perlu lebih bersedia berdepan Taiwan esok, dalam misi menjuarai kumpulan ke pusingan kalah mati.
Zii Jia yang kali pertama turun beraksi di kejohanan kali ini, menunjukkan dirinya sudah bersedia berdepan perlawanan lebih sukar esok, apabila menewaskan Dimitriy Panarin 21-11, 21-10 dalam masa 32 minit.
Mengikut rentaknya, Leong Jun Gao dan Eogene Ewe yang turut menang straight set ke atas lawan masing-masing.
Jun Hao menang ke atas Bayken Ibray 21-8, 21-11 manakala Eogene mengatasi Makhsut Tajibullayev 21-7, 21-9.
Selepas itu, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri yang sekali lagi diberi kepercayaan, membalasnya dengan kemenangan ke atas Ratmir Gilmanov-Bayken Ibray 21-10, 21-9, sebelum Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani melengkapkan kemenangan 5-0 dengan menewaskan Khaitmurat Kuilmatov-Makhsut Tajibullayev 21-6, 21-2.
Skuad negara akan menentang Taiwan kira-kira jam 5 petang Khamis pada perlawanan terakhir kumpulan B.
Malaysia dan Taiwan sudah mengesahkan tempat ke suku akhir, namun perebutan juara kumpulan bakal menjadikan perlawanan menarik kerana pemenang akan mendapat lawan lebih mudah di pusingan kalah mati, pada Jumaat.