TEKA-teki ke mana perginya Lee Zii Jia ketika Ng Tze Yong yang mengalami kecederaan, terpaksa menggalas cabaran sebagai perseorangan pertama pada suku akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) terjawab, apabila Team LZJ menerusi aplikasi ‘X’ mengeluarkan kenyataan bahawa pemainnya itu tidak cergas untuk perlawanan terbabit.
Malah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) turut mengeluarkan kenyataan berhubung situasi itu.
Menurut Team LZJ, mereka berterima kasih kepada pihak BAM kerana memahami keadaan Zii Jia dan berasa kecewa (Zii Jia) tidak dapat turun serta menyumbang mata buat negara.
“Zii Jia mendapat simptom resdung yang sudah lama dialaminya. Team LZJ sudah membentangkan situasi ini kepada BAM dan jalan terbaik ialah Zii Jia tidak dapat meneruskan aksi untuk perlawanan menentang Singapura.
“Zii Jia mengalami simptom sukar bernafas semasa perlawanan menentang Taiwan semalam dan apabila keadaan semakin teruk, Zii Jia dibawa berjumpa pakar pada pagi tadi. Dia dinasihatkan untuk berehat bagi mengelak situasi lebih buruk,” kata kenyataan berkenaan.
Sementara itu, dalam kenyataan BAM pula, mereka memberitahu bahawa Tze Yong menjalani Imbasan Pengimejan Resonas Magnetik (MRI) selepas perlawanan menentang Brunei Selasa lalu.
“MRI itu mengesahkan bahawa dia (Tze Yong) tidak cergas 100 peratus. Oleh itu, dia direhatkan menentang Kazakhstan (kelmarin) dan Taiwan (semalam).
“Tze Yong menjalani rawatan di hospital semalam untuk mempersiapkannya menghadapi perlawanan menentang Singapura dan memastikan dia berada dalam keadaan terbaik.
“Memandangkan Zii Jia juga sakit selepas perlawanan menentang Taiwan semalam dan dinasihatkan oleh pakar untuk berehat kerana masalah resdungnya, barisan kejurulatihan memutuskan untuk meletakkan Tze Yong sebagai perseorangan pertama dan mengekalkan Leong Jun Hao sebagai perseorangan kedua, diikuti Eogene Ewe (perseorangan ketiga),” kata BAM dalam kenyataan di aplikasi ‘X’.
Terdahulu, Tze Yong menerusi Instastorynya, berkongsi sekeping gambar terbaring di bilik rawatan hospital bertarikh 15 Februari.
Ini bermakna, pasukan lelaki negara hanya mempunyai dua perseorangan yang masih cergas, iaitu Leong Jun Hao dan Eogene Ewe.