HURU-HARA pasukan lelaki apabila Ng Tze Yong yang baharu mendapatkan rawatan di hospital, terpaksa menggalas cabaran perseorangan pertama negara, selepas Lee Zii Jia turut tidak dapat beraksi gara-gara mendapat simptom resdung, namun nasib menyebelahi apabila skuad negara berjaya mengatasi Singapura 3-1 pada suku akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Pusat Konvensyen Setia City.

Bagaikan terpaksa menurunkan Tze Yong di suku akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) menentang Singapura hari ini, perseorangan nombor 15 dunia itu akur biarpun perlawanan hanya berlangsung selama tiga minit sebelum menarik diri.

Gara-gara belum cergas namun tetap turun beraksi, Ng Tze Yong tidak dapat meneruskan perlawanan selepas kesakitan belakang semakin dirasai ketika menetnag Jason Teh dari Singapura.

“Saya masih ada rasa sakit meskipoun sudah mendapatkan suntikan. Keputusan menarik diri daripada perlawanan itu saya buat kerana tidak mahu menjadikan kecederaan ini lebih teruk.

“Saya kecewa tidak dapat bantu pasukan raih mata tetapi saya berasa sakit,” kata Tze Yong, selepas menghentikan perlawanan menentang Jason Teh ketika ketinggalan 1-3, sekali gus memberi mata pertama kepada Singapura.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik menyamakan kedudukan, selepas pasukan kehilangan satu mata akibat Ng Tze Yong menarik diri daripada perlawanan.

Ketinggalan 0-1, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meletakkan pasukan negara kembali ke landasan apabila menundukkan Loh Kean Hean-Howin Wong  21-11, 22-24, 21-14 menjadikan kedudukan 1-1.

Leong Jun Hao memberi kelebihan buat pasukan negara, apabila mengatasi Joel Koh 21-8, 21-12, sebelum Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani melengkapkan kemenangan negara dengan menewaskan Wesley Koh-Kubo Junsuke 21-6, 20-22, 21-8.

Begitupun, menghadapi saingan separuh akhir pada Sabtu, skuad negara kekurangan pemain perseorangan lelaki yang cergas dan bergantung kepada Jun Hao dan Eogene Ewe sahaja.