PASUKAN wanita Malaysia yakin, mampu menjuarai kumpulan Y sekali gus mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024, di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam bermula hari ini.

Pemain perseorangan, K.Letshanaa berkata, diletakkan dalam kumpulan Y bersama Thailand dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE), tidak bermakna skuad wanita perlu menyerah untuk muncul pasukan kedua terbaik di belakang Thailand.

“Thailand kali ini tidak datang dengan barisan terkuat mereka, namun mereka masih lagi kuat dengan barisan pemain yang ada.

“Tetapi kami yakin ada kemampuan untuk menewaskan mereka.

“Tiada apa untuk ditakutkan ketika berdepan Thailand kerana saya tetap yakin kami akan ke suku akhir meskipun sebagai naib juara kumpulan,” kata Letshanaa.

Letshanaa bakal tampil sebagai perseorangan wanita kedua negara di BATC 2024.

Menurutnya, setiap pemain dalam pasukan wanita tidak boleh terlalu memikirkan ranking individu ketika berhadapan lawan, kerana ia boleh melemahkan semangat melawan.

“Jika kita fikirkan kedudukan ranking, saya pasti kami tertekan dan memberi tekanan kepada pasukan, kerana akan berasa tidak cukup bagus untuk bersaing dalam kejohanan ini.

“Setiap pemain mempunyai peluang sama rata sebaik memasuki gelanggang, hanya turun beraksi dengan prestasi terbaik tanpa memikirkan apa keputusan di penghujungnya,” ujar Letshanaa lagi.

Tambah pemain berasal dari Selangor itu,pada perlawanan acara berpasukan sebelum ini, dia sudah melihat banyak keputusan mengejutkan apabila pemain di ranking yang rendah mengejutkan pemain ranking dunia yang lebih tinggi.

Goh Jin Wei menggalas tugas sebagai perseorangan wanita pertama kempen BATC 2024. 

“Apabila bermain dalam acara berpasukan, ranking individu sekadar nombor kerana yang penting adalah perseteruan dalam gelanggang, antara dua pemain bukan perlawanan antara ranking.”

Tambah Letshanaa, semangat sepasukan berada di tahap yang tinggi, meskipun ada yang berasakan masih baru dalam pasukan ini.

“Bagi saya, walaupun baru untuk pasukan ini, kebanyakan pemain senior mengenali saya dan kami amat rapat.

“Kami bersama-sama pergi ke banyak kejohanan, eropah dan sebagainya,” tambah Letshanaa yang kini berada di ranking ke-56 dunia.

Begitupun, Letshana menegaskan bahawa pasukan negara perlu menyapu bersih mata pada perlawanan pembukaan menentang UAE esok.

Pada edisi 2022, skuad wanita negara terkandas di separuh akhir.