SKUAD wanita masih belum memutuskan sama ada menurunkan beregu asal atau pecahan bagi menghadapi Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada perlawanan pertama Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) pagi esok.

Pengarah Kejurulatihan, Rexy Mainaky berkata, berada dalam kumpulan Y bersama UAE dan Thailand, membuatkan percaturan tepat perlu dilakukan dan tentunya barisan terkuat akan diturunkan bagi meraih mata pertama dengan kemenangan 5-0.

Pengarah Kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky masih mencongak strategi utuk pasukan wanita menghadapi UAE di BATC esok.

“Menentang UAE, kita nak dapatkan mata dan tentu menurunkan barisan terkuat tetapi saya akan lihat dahulu sama ada Pearly Tan dan M Thinaah memerlukan perlawanan untuk mengadaptasi gelanggang atau tidak.

“Lagipun, kita perlu berhati-hati juga melawan UAE kerana mereka tidak menggunakan pemain asalo negara mereka, mereka diperkuat pemain berasal dari Indonesia dan India,” kata Rexy, yang masih mencongak strategi terbaik bagi pasukan wanita.

Mungkinkah Pearly dan Thinaah diturunkan bersama gandingan berbeza, esok?

Menurutnya, kemenangan 5-0 ke atas UAE amat penting bagi meningkatkan semangat pemain bagik perseorangan mahupun beregu.

Mengulas mengenai cabaran pasukan wanita Thailand, beliau berkata: “Thailand hadir tanpa Ratchanok Intanon dan Pornpawee Chochuwong, yang berada di ranking kelapan dan 16 dunia, masih kuat di bahagian perseorangan dengan adanya Supanida Katethong (17) dan Busanan Ongbamrungphan (18).

Jin Wei diharap mampu menyumbang mata, ketika berdepan Thailand pada perlawanan kedua BATC.

“Jadi, kita harap Goh Jin Wei dapat mencuri satu mata dari perseorangan, dan cuba meraih dua mata dari beregu,” kata Rexy.

Skuad wanita yang berjaya ke separuh akhir pada edisi 2022, akan membuka saingan kumpulan Y menentang UAE pagi esok dan berdepan Thailand pada Khamis.