TIDAK cergas 100 peratus, namun Lee Zii Jia tampil dengan prestasi luar biasa, ketika menghadiahkan mata pertama kepada skuad negara berdepan Jepun di separuh akhir, Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Pusat Konvensyen Setia City, hari ini.

Berdepan pemain ranking ke-12 dunia, Kenta Nishimoto, perlawanan bermula sengit di awalnya sebelum Zii Jia yang menghuni tangga ke-10 dunia mengungguli perlawanan21-18, 21-15 dalam tempoh 51 minit.

Kemenangan Zii Jia itu, menaikkan semangat rakan sepasukan, dan paling mencuri tumpuan adalah gayanya ketika meraikan setiap mata yang diperolehi.

Lee Zii Jia mempamerkan aksi penuh yakin, menentang Kenta Nishimoto. Perseorangan utama negara itu menghadiahkan mata pertama buat Malaysia ketika berdepan Jepun di separuh akhkir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia.

“Sudah tentu kerana keyakinan yang ada pada diri saya juga, penyokong yang memenuhi dewan juga membantu kepada tindakan saya itu.

“Mungkin secara mentalnya, jika terlalu banyak perkara difikirkan, tak menjadi, lalu saya hanya mahu enjoy dalam perlawanan ini, tak mahu fikir apa-apa,” kata Zii Jia, menjawab pertanyaan mengenai gerak badannya selepas meraih mata.

Antara yang menarik perhatian, gayanya meneropong ke arah garisan tepi Nishimoto, selepas pemain lawan itu gagal mengembaalikan pukulannya.

Kento Nishimoto kecewa, sering terperangkap dengan permainan Lee Zii Jia.

Dalam pada itu, Zii Jia mengakui belum cergas sepenuhnya namun tidak mahu situasi pada perlawanan suku akhir menentang Singapura.

“Saya bukan 100 peratus cergas tapi kita tak mahu berlaku seperti semalam.

“Saya rasa saya boleh main… sebagai pemain Malaysia, saya akan terus main kerana pasukan akan mengawasi keadaan saya.”

Lee Zii Jia menggoyangkan badaannya meraikan mata dimenangi, ketika berdepan Kenta Nishimoto.

Zii Jia memberi contoh situasi didepaninya pada Indonesia Masters baru-baru ini, apabila terpaksa menarik diri pada pusingan suku akhir, bibarpun sudah mengalami cirit birit dari hari pertama kerana tersalah makan.

“Walaupun cirit birit, saya tetap bermain dan bergantung kepada situasi hari perlawanan, jika boleh teruskan… saya teruskan sehinggalah di suku akhir, terpaksa menarik diri,” ujar Zii Jia lagi.

Untuk rekod, pada edisi 2022 ketika pasukan lelaki menjuarai BATC, Zii Jia menjadi antara tonggak pasukan pada edisi dua tahun lalu itu.