KEGAGALAN menyamai pencapaian 2022 mungkin boleh diterima, namun tewas mudah kepada barisan pelapis Indonesia di suku akhir (wanita) Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC), membayangkan di mana letaknya mutu badminton wanita negara ketika ini.

Natijahnya, skuad wanita negara turut terlepas slot automatik ke Piala Uber April depan, malah lebih membimbangkan perembahan Pearly Tan-M Thinaah yang tidak menggambarkan status mereka sebagai pasangan di kelompok 20 teratas.

Dalam aksi itu, Malaysia tewas kepada juara bertahan, Indonesia 3-0 namun aksi yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) terbabit menyaksikan kegagalan mutlak beregu senior.

Bermula dengan perseorangan pertama, K Letshanaa tewas di tangan Putri Kusuma Wardani dalam pertarungan tiga set 12-21, 21-18, 13-21.

Beregu wanita negara, Pearly- Thinaah yang menjadi sandaran, dikejutkan dengan kekalahan di tangan pasangan ranking ke-30 dunia, Lanny Tria Mayasari-Ribka Sugiarto 14-21, 21-18, 15-21.

“Pemain lawan sudah dapat membaca permainan kita, kami pula tiada variasi corak permainan lain lagi untuk melawan,” kata Thinaah, mengulas mengenai kekalahannya.

Ketinggalan 0-2, Malaysia cuba mencetuskan kebangkitan menerusi perseorangan kedua, Wong Ling Ching namun dia terpaksa akur apabila tewas juga dalam pertarungan tiga set 21-14, 15-21, 16-21 di tangan Ester Nurumi Tri Wardoyo sekali gus mengakhiri cabaran negara pada saingan kali ini.

Keputusan itu menyaksikan barisan pemain wanita negara gagal mengulangi pencapaian mara ke separuh akhir pada edisi 2022.

Meskipun gagal menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik kali ini, skuad negara bagaimanapun mempunyai peluang untuk beraksi di Piala Uber menerusi kiraan ranking selepas pencabar terdekat, Hong Kong dan Taiwan turut terkandas di suku akhir.

Bagaimanapun, Malaysia perlu menunggu pengesahan mengenai perkara itu yang hanya akan diumumkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).