MASIH ada rasa sakit, namun Ng Tze Yong masih mampu beraksi dengan baik ketika menyumbang mata pertama menentang Brunei, di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam.
Pada aksi pembuka tirai Kumpulan B itu, Malaysia tidak berdepan sebarang masalah mencatat kemenangan 5-0 ke atas Brunei.
Tze Yong yang mengalami kecederaan belakang pada Terbuka Malaysia bulan lalu, mengakui belum mencapai tahap 100 peratus kecergasan, ketika menewaskan, Kan Kah Kit 21-7, 21-11.
“Ini adalah perlawanan pertama saya untuk 2024, jadi satu keputusan yang bagus kerana dapat catat kemenangan. Mungkin ada rasa tegang sikit di bahagian belakang tetapi saya akan bincang dengan jurulatih nanti.
“Ketika melakukan pukulan smash, sebenarnya saya masih fikir mengenai kecederaan itu. Oleh itu, saya berjaga-jaga kerana itu adalah perkara paling penting,” katanya.
Ujarnya, perlawanan pertama itu penting untuk pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022 mengetahui sejauh mana prestasinya setakat ini.
“Saya fikir tahap kecergasan saya dalam 60 hingga 70 peratus. Hari ini memang saya perlu turun bermain bagi mengetahui setakat mana tahap kecergasan dan saya gembira mengenainya.
“Memang saya ada fikir mengenai (kelayakan) Olimpik tetapi masih ada peluang kerana saya berada dalam kelompok 16 teratas. Selain itu, masih ada beberapa kejohanan lain lagi,” ujarnya.