“SUDUT pandangan saya lebih luas di belakang gelanggang, jadi saya tahu keputusan yang saya but ketika dalam gelanggang sebelum ini, ada masanya salah.”

Itulah gambaran diberikan kapten pasukan badminton lelaki negara, Soh Wooi Yik yang beroleh pengalaman berharga duduk di kerusi jurulatih, ketika perlawanan membabitkan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri.

Pada perlawanan menentang Brunei semalam, Woi Yik duduk di sebelah jurulatih beregu lelaki, Tan Bin Shen dan diberi tanggungjawab membantu Hon Jian-Haikal memberi pandangan dan strategi dalam perlawanan.

Soh Wooi Yik duduk di kerusi belakang gelanggang, bersama jurulatih Tan Bin Shen, ketika Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri beraksi.

“Ini pengalaman pertama saya… sepanjang duduk di kerusi itu, coach Bin Shen berkongsi dengan saya apa perlu dinasihatkan kepada Hon Jian-Haikal jika berada di gelanggang menentang angin dan sebaliknya, dia minta saya ajar Hon Jian dan Haikal.

“Saya rasa berbeza apabila duduk di belakang, kerana ketika beraksi, pandangan saya aamt sempit. Jadi sekarang saya tahu pergerakan yagn saya lakukan sebelum ini salah dan seharusnya melakukan pukulan berbeza, pengalaman ini sangat berharga,” kata Wooi Yik.

Menurutnya, diberi tanggungjawab sebagai kapten juga memberi ruang buatnya banyak belajar mengenai tanggungjawab.

Soh Wooi Yik melihat peluang duduk di tempat duduk jurulatih di belakang gelanggang, membolehkannya menilai sendiri setiap tindakannya ketika bermain dalam gelanggang.

“Saya rasa, apabila saya memberi pandangan kepada Hon Jian dan Haikal, mereka lebih mudah faham dan kurang tegang, kerana jika saya sendiri, apabila jurulatih memberi pandangan dan nasihat sewaktu rehat perlawanan, kita (pemain) tak berani dan suarakan pandangan kita.

“Jadi saya bercakap dengan Hon Jian-Haikal sebagai kawan, senang sikit nak cakap.”

Pada perlawanan menentang Brunei semalam, Wooi Yik dan Aaron Chia tidak diturunkan.

Malaysia memperoleh kemenangan pertama kumpulan B, selepas menewaskan Brunei 5-0.

Turut berada dalam kumpulan B adalah Kazakhstan dan Taiwan.