PERISTIWA kekalahan kepada pemain Jepun, sehari selepas hari jadinya pada saingan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022, menjadi motivasi buat Soh Wooi Yik, untuk mengelak dari tewas pada saingan separuh akhir saingan kali ini.
Berdepan Aakira Koga-Taichi Saito selepas Lee Zii Jia meraih kemenangan pertama buat pasukan lelaki negara, ternyata memberi tekanan kepada Wooi Yik-Aaron Chia, apabila mereka tewas set pertama 15-21.
Wooi Yik yang menyambut hari kelahirannya hari ini berkata, mengingati kembali kekalahan di tangan Ayato Endo-Yuta Takei (21-23, 16-21) pada tanggal 18 Februari 2022, dia berkata kepada dirinya bahawa tidak boleh tewas kali ini.
“Selepas kalah set pertama, saya ingat balik dua tahun lalu… semangat seperti kembali membara kerana saya rasa tidak boleh kalah macam itu lagi. Sebab waktu itu, hari jadi saya juga,” kata Wooi Yik, selepas dia dan Aaron melakukan kebangkitan ketika menundukkan Koga-Saito 21-17, 21-10 pada set kedua dan ketiga.
Sementara itu, Aaron berkata, sorakan padu penyokong menyuntik semangat kebangkitan mereka.
“Melihat sokongan rakan-rakan dan penyokong supaya kami tidak berputus asa, kami terus fokus kepada matlamat,” kata Aaron.
Dalam pada itu, sempena hari jadinya, Wooi Yik berharap dia dan Aaron mampu mencapai impian mereka di Olimpik nanti.